Ahad, 1 Julai 2018 | 8:27pm
DHAARMA Raj Abdullah - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
DHAARMA Raj Abdullah - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ

Skuad Dhaarma mudah ratah Thailand

 

KUALA LUMPUR: Seperti yang dijangka pasukan hoki wanita negara mudah membelasah Thailand 6-0 sekali gus meraih emas di Siri Hoki Terbuka di Stadium Seng Kang, hari ini.

Namun sesuatu yang tidak dijangka apabila pemain berusia 14 tahun, Kirandeep Kaur berjaya meledakkan gol pertamanya di kejohanan itu pada minit ke-30.

Kirandeep diturunkan dalam setiap perlawanan di kejohanan sulungnya bersama pasukan senior itu, dan kepercayaan diberikan oleh jurulatih Dhaarma Raj Abdullah itu tidak disia-siakannya.

Ironiknya, Kirandeep tidak cukup bagus buat jurulatih Kuala Lumpur, A Kannagi apabila diketepikan daripada skuad kebangsaan bawah 16 tahun, awal tahun ini.

Namun Dhaarma melihat dari sudut berbeza dan anak muda itu diberi kepercayaan biarpun tidak pernah beraksi bersama skuad junior sebelum ini apabila disenaraikan ke dalam skuad senior.

Gol jaringan skuad negara dihasilkan oleh Fatin Shafika Shukri (m-2, m-5), Surizan Awang Noh (m-8), Nuraini Rashid (m-51) dan Nur Amirah Shakirah (m-56).

Pengurus pasukan yang juga bekas pemain kebangsaan Lailin Abu Hassan, berkata: "Kami menewaskan Thailand 4-0 pada peringkat kumpulan dan menjaringkan dua gol tambahan di final dan ia memperlihatkan satu perkembangan yang baik dalam kalangan pemain.

"Kami juga memberi lebih banyak masa kepada pemain muda beraksi di pentas akhir dan mereka membayar kepercayaan itu apabila Kirandeep menjaringkan gol pertamanya di peringkat antarabangsa.

"Dengan masa dan banyak perlawanan dia menjadi lebih yakin dan berjaya menjaringkan gol di final. Dalam jangka masa panjang ini, pemain itu akan memberi manfaat kepada negara."

Dhaarma turut menurunkan dua pemain berusia 17 dan seorang pemain 14 tahun di kejohanan ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X