Sabtu, 7 Julai 2018 | 8:14pm

AHF masih belum terima pengesahan Indonesia

 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Hoki Asia (AHF) masih menunggu Indonesia mengesahkan jumlah penyertaan pasukan hoki lelaki dan wanita bagi Sukan Asia sebelum menentukan kumpulan.

Berbaki 40 hari sebelum temasya itu menyingkap tirainya, penganjur masih belum dapat mengesahkan jumlah penyertaan.

"Kami masih menunggu pengesahan pasukan daripada jawatankuasa penganjur, dan selepas itu baharu kami boleh menentukan kumpulan dan jadual perlawanan," kata Ketua Pegawai Eksekutif AHF, Datuk Tayyab Ikram.

Nasib Malaysia pada Sukan Asia bergantung sepenuhnya terhadap undian kumpulan, namun berdasarkan ranking semasa, skuad kendalian Stephen van Huizen itu hampir pasti mengelak India dan Korea Selatan dalam aksi kumpulan.

Dengan mereka dijangkakan akan berada satu kumpulan bersama Pakistan dan China, sekiranya ia benar-benar terjadi, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir tampak cerah.

Bagi kategori lelaki, sebanyak 12 pasukan melayakkan diri antaranya tuan rumah Indonesia, India, Pakistan, Korea Selatan, Malaysia, China, Jepun, Oman, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand dan Taiwan.

Hanya ada 10 pasukan bagi kategori wanita terdiri daripada Indonesia, Korea Selatan, China, India, Jepun, Malaysia, Thailand, Hong Kong, Taiwan dan Kazakhstan.

"Temasya ini akan menyajikan hoki terbaik Asia kerana ia menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo," kata Tayyab

Hanya pemenang pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita akan mendapat tiket terus ke Olimpik, sementara baki pasukan yang lain boleh terus mencari slot menerusi pusingan kelayakan Siri Dunia.

"Untuk pasukan yang tidak layak ke Olimpik, temasya ini akan menjadi medan terbaik untuk mempersiapkan diri menghadapi Trofi Juara-Juara Asia (di Muscat, 18-28 Oktober) dan juga Piala Dunia di India," kata Tayyab.

Malaysia, Pakistan, Korea Selatan, Jepun dan Oman akan beraksi di Trofi Juara-Juara Asia, manakala pasukan Asia yang menempah tiket ke Piala Dunia menerusi proses kelayakan adalah Malaysia, Pakistan dan China. 

Berita Harian X