Isnin, 16 Julai 2018 | 9:00pm
UNDIAN yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF) hari ini.

Separuh akhir hampir pasti dalam tangan

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara hampir pasti akan beraksi pada separuh akhir Sukan Asia di Jakarta dari 19 Ogos sehingga 1 September ini.

Ini kerana, menerusi undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF) hari ini, hanya Pakistan satu-satunya pasukan yang menjadi penghalang utama skuad negara yang diundi dalam Kumpulan B, manakala Bangladesh, Oman, Thailand dan Indonesia selaku tuan rumah hampir pasti mampu ditewaskan Malaysian Tigers.

Kumpulan A pula dilihat sukar kerana ia membabitkan pertembungan tiga pasukan utama iaitu India, Korea Selatan dan Jepun.

"Ya, undian dilihat memihak kepada kami kerana kami hanya perlu menewaskan Pakistan untuk muncul juara kumpulan. Bagaimanapun, kami tidak akan memandang rendah pasukan lain seperti Bangladesh dan Oman kerana mereka adalah pasukan yang sentiasa bekerja keras.

"Jika kami mampu menjadi juara kumpulan, saya yakin kami dapat mengelak India di separuh akhir kerana mereka adalah pasukan pilihan utama di kejohanan ini," kata ketua jurulatih, Stephen Van Huizen.

Ketiadaan China juga menjadikan laluan skuad negara lebih mudah.

"China sudah layak ke Piala Dunia tetapi tidak beraksi di Sukan Asia dan ia menjadikan undian dalam kumpulan kami lebih mudah," katanya.

Untuk skuad hoki wanita negara pula, mereka diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

Pemenang pingat emas bagi acara lelaki dan wanita akan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Pusat Sukan Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.

Menurut sumber AHF, China tidak beraksi pada edisi kali ini selepas kerajaan mereka menarik balik penyertaan berikutan aksi buruk ketika saingan jelajah Kanada.

Berita Harian X