Isnin, 23 Julai 2018 | 6:23pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab soalan media di Bangunan Parlimen. - Foto Luqman Hakim Zubir

SPRM, GIACC sudah mula audit program KBS 

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) untuk mengenal pasti salah laku, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kementerian itu sebelum ini.

Berikutan itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengesahkan SPRM dan GIACC sudah memulakan pengauditan terhadap semua program di bawah KBS.

Syed Saddiq berkata, beliau juga tidak menolak cadangan SPRM untuk menempatkan seorang pegawainya di KBS bagi memantau dan melaporkan secara terus segala kegiatan salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam kementerian kepada pihak berkuasa.

"Kita juga akan menganjurkan bengkel bersama pegawai tertinggi SPRM dan GIACC untuk mengenal pasti salah laku, penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam KBS.

"Selepas ini kita akan bentangkan hasil laporan audit dibuat oleh SPRM dan GIACC supaya rakyat boleh menilai bahawa kami adalah sebuah kementerian yang sentiasa mengamalkan tahap integriti tinggi dalam segala urus tadbir dan program dianjurkan oleh kami," katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad dodgeball kebangsaan di Parlimen di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, Syed Saddiq dilaporkan KBS akan meneruskan program-program baik yang dilakukan kementerian itu sebelum ini seperti Program Podium, Hari Sukan Negara dan Fit Malaysia.

Bagaimanapun, Syed Saddiq menjelaskan, ia berdasarkan laporan mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) termasuk membabitkan kos yang mungkin perlu ditambah baik pada masa hadapan.

Sementara itu, Syed Saddiq mengesahkan KBS juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi membincangkan isu kebajikan bekas atlet kebangsaan.

 

 

Berita Harian X