Selasa, 24 Julai 2018 | 5:32pm
PERMUKAAN getah untuk acara hoki dalam dewan yang ditanggalkan secara tidak profesional.
PERMUKAAN getah untuk acara hoki dalam dewan yang ditanggalkan secara tidak profesional.

Enam rosak - Shamala

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan enam keping permukaan getah untuk acara hoki dalam dewan yang ditanggalkan secara tidak profesional oleh pekerja asing selepas berakhir temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), rosak akibat kecuaian.

Perkara itu didedahkan Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala.

Bagaimanapun, MHC tidak dapat melakukan tindakan lanjut kerana masih menunggu penjelasan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) berhubung isu berkenaan.

Disebabkan proses pengauditan dan akaun yang belum selesai, keenam-enam keping permukaan getah untuk acara hoki dalam dewan itu disimpan di stor dekat Balakong, Selangor.

"Iya, enam keping sudah rosak tetapi permukaannya masih boleh digunakan dan ketika ini disimpan di Balakong. Kami sudah cuba mendapatkan penjelasan daripada MASOC berkenaan isu ini tetapi mereka memaklumkan beberapa perkara membabitkan proses audit belum selesai dan ia tidak boleh diserahkan kepada kami," katanya.

Ditanya kemungkinan enam keping permukaan getah itu akan mengakibatkan kerosakan lebih buruk gara-gara ia lewat diserahkan, Shamala berkata: "Kami berharap tiada apa yang berlaku sepanjang disimpan dalam stor tetapi sebaik kami mendapatkannya, kami akan memasangnya di dewan universiti atau mana-mana tempat yang dirasakan sesuai bagi mempromosikan sukan hoki dalam dewan.

"Sehinggalah MASOC dapat menyelesaikan segala-galanya, kami akan terus berhubung dengan mereka dan mengharapkan yang terbaik," katanya.

Selepas dipasang untuk penganjuran KL2017 di Dewan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), permukaan getah hoki dalam dewan itu kemudian ditanggalkan dengan cara tidak betul.

Jurucakap Kuckreja & Co, Allan Netto iaitu kontraktor yang mengendalikan pemasangan permukaan itu mendakwa, ia sudah tidak boleh digunakan apatah lagi kerusi dan meja turut pernah diletakkan di atas permukaan getah itu untuk kejohanan catur sebelum ini.

Allan turut berkata, MASOC masih berhutang lebih RM40,000 untuk kerja-kerja tambahan menjelang saingan KL2017.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong gagal dihubungi untuk sebarang maklumat lanjut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X