Khamis, 2 Ogos 2018 | 5:25pm
BISHARUZI Omar - Foto FB Bisharuzi

UKM anjur ASEAN Unity [email protected] 2018

KUALA LUMPUR: Pusat Transformasi Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UCTC UKM), akan menganjurkan program ASEAN Unity [email protected] 2018 bertempat di Kilim Geoforest Park di Langkawi, Kedah pada 18 Ogos ini.

Larian itu yang diadakan sempena Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYP) adalah sebagai satu usaha memacu kesukarelawanan belia membabitkan golongan muda dengan demografi sasaran yang berusia antara 18 dan 30 di seluruh rantau ini.

Penasihat Teknikal AYP, Bisharuzi Omar, berkata acara itu dijangka bakal mendapat sambutan hangat khususnya daripada Mahasiswa IPT dan golongan profesional.

Sepanjang program itu, peserta akan menempuh laluan mencabar sepanjang lima kilometer yang bakal menguji kekuatan stamina mereka. 

"Laluan untuk peserta bagi 3 km adalah secara santai, melalui kawasan kampung dan persekitaran kampung Kilim.

"Bagi laluan 5 km pula, ia sedikit mencabar dengan laluan sekitar ladang getah, laluan bukit dan peserta dapat melihat permandangan yang indah dan panorama Bukit Baru Kapur sekitar Kilim," katanya.

Larian ini turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) serta Sekretariat Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad.

Terdapat empat kategori yang dipertandingkan iaitu kanak-kanak bawah 12 tahun (B-12), remaja B-18 dan Orang Kelainan Upaya dengan ketiga-ketiga kategori ini diberikan percuma. 

Manakala bagi kategori dewasa dengan jarak larian sejauh 5 KM pula, yuran yang dikenakan RM50.00 buat setiap peserta.

Tarikh Tutup Penyertaan adalah pada  31 Julai 2018. Maklumat lanjut mengenai larian ini boleh dilayari di aur.ayvpukm.com.my atau www.facebook.com/aur.ayvpukm201.

Berita Harian X