Khamis, 9 Ogos 2018 | 7:10pm
PENGARAH Teknikal MHC, Terry Walsh. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENGARAH Teknikal MHC, Terry Walsh. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Tiada kejutan MHC

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengeluarkan senarai akhir barisan 18 pemain skuad lelaki dan wanita ke Sukan Asia, dengan nama Kirandeep Kaur paling mencuri tumpuan.

Sensasi berusia 15 tahun itu muncul satu-satunya muka baru yang dinamakan MHC kali ini dengan skuad lelaki dan wanita menyasarkan emas dan gangsa di Jakarta.

Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh turut memuji Kirandeep yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya, Bangsar itu.

“Keseluruhan pasukan lelaki dan wanita negara diperkuatkan barisan pemain sama, hanya Kirandeep Kaur saja menjadi satu-satunya pemain baru yang disenaraikan.

“Saya pernah melihat persembahannya pada sesi latihan dan juga perlawanan kompetitif. Saya percaya dia mempunyai bakat luar biasa bagi pemain seusianya,” kata bekas pengendali Australia itu.

Semalam, NSTP melaporkan bahawa Kirandeep Kaur akan menjadi pemain termuda dalam sejarah hoki Malaysia yang beraksi di Sukan Asia, hasil percaturan berani jurulatih Dhaarma Raj Abdullah.

Dan apabila ditanya sejauh mana peluang skuad Malaysian Tigers dan Malaysian Tigress di Sukan Asia nanti, Walsh menaruh harapan untuk melihat kedua-dua pasukan itu mengatasi pencapaian terdahulu.

“Saya menjangkakan kedua-dua pasukan mencapai sasaran lebih tinggi di temasya berkenaan. Skuad wanita sepatutnya mampu mengibarkan cabaran sehingga separuh akhir dan memenangi pingat, sementara lelaki sepatutnya mara ke final,” katanya.

Skuad lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Pakistan, Bangladesh, Oman, Kazakhstan dan Thailand manakala skuad wanita dalam Kumpulan A (China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan).

Terdahulu, dalam satu majlis di Pejabat MHC menyaksikan barisan pemain hoki lelaki dan wanita mendapat tajaan kasut daripada Vik Network, sebuah syarikat barangan sukan hoki.

 

18 pemain skuad lelaki

Penjaga gol: S Kumar, Hairi Rahman

Pertahanan: Sukri Mutalib, Razie Rahim, Syed Syafiq Syed Cholan, Azri Hassan, Faiz Helmi Jali, 

Tengah: Nabil Fiqri, Marhan Jalil, Meor Azuan Hassan, Fitri Saari, Joel Samuel van Huizen, Amirol Aideed Arshad

Penyerang: Tengku Ahmad Tajuddin, Faizal Saari, Nik Aiman Nik Rozemi, Firhan Ashari, Shahril Saabah.

18 pemain skuad wanita

Penjaga gol: Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Aziz

Pertahanan: Siti Noor Amarina Ruhani, Juliani Din, Raja Norsharina Shabuddin, Nuraini Rashid, Nur Syafiqah Zain

Tengah: Fatin Shafika Mahd Sukri, Fazilla Sylvester Silin, Wan Norfaiezah Saiuti, Surizan Awang Noh, Nuraslinda Said, Noor Hasliza Ali

Penyerang: Norazlin Sumantri, Hanis Nadiah Onn, Nur Amirah Shakirah, Nur Zafirah Aziz, Kirandeep Kaur

Berita Harian X