Rabu, 12 September 2018 | 3:14pm
WAN Kuzain Wan Kamal.

Hadiah hari jadi terbaik Kuzain

 

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun ke-20 buat pemain berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal nyata bertambah manis apabila jaringannya dipilih sebagai Gol Terbaik Ogos oleh United Soccer League (USL).

Perkembangan itu dimaklumkan menerusi laman rasmi USL dan juga laman rasmi Sporting Kansas City, kelmarin.

Jaringan itu dihasilkan Wan Kuzain menerusi sepakan percuma ketika beraksi bersama Swope Park Rangers yang menyaksikan pasukan itu bangkit meraih kemenangan 2-1 ke atas Tulsa Roughnecks FC di Children’s Mercy Park, 29 Ogos lalu.

Jaringan menarik itu berjaya menerima undian tertinggi dengan 30 peratus undian sekali gus menewaskan sembilan pencabar lain bagi anugerah terbabit.

Kuzain melencongkan bola sepakan percuma untuk mengelirukan penjaga gawang Tulsa, Fabian Cerda yang pada mulanya bergerak ke kiri untuk menepis sepakan itu sebelum bola bertukar arah ke bahagian kanan gol.

Jaringan itu membolehkan Swope Park Rangers mengikat kedudukan 1-1 sebelum Hadji Barry meledak gol kemenangan buat pasukan terbabit.

Kuzain yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-20 Jumaat ini sudah meledak dua gol dalam 16 penampilan bersama Swope Park Rangers musim ini.

Dia juga berjaya melakukan satu umpanan gol serta menjaringkan satu gol dalam lapan penampilan bersama Sporting Kansas City sekali gus menjadi pemain berdarah Malaysia pertama meledak gol dalam saingan Major League Soccer (MLS).

Menerusi pencapaian ini, anak kelahiran pasangan dari Malaysia itu menjadi pemain kedua Swope Park Rangers yang meraih anugerah Gol Terbaik Bulanan USL.

Julai lalu, Kuzain dipilih untuk mewakili MLS pada Aksi Pemain Tempatan MLS 2018 yang menyaksikan dia beraksi selama 45 minit menentang skuad Bawah 20 tahun (B-20) Tigres UANL dari Mexico.

 

Berita Harian X