Isnin, 17 September 2018 | 5:02pm
Atlet terjun Sabah, Gabriel Gilbert Daim memenangi pingat emas acara terjun papan anjal 3 Meter lelaki pada SUKMA Perak 2018 di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Gabriel akhirnya raih emas SUKMA 

IPOH: Biarpun sudah merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, penerjun Sabah, Gabriel Gilbert Daim akhirnya berjaya meraih emas pertamanya pada Sukan Malaysia (SUKMA) apabila mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal hari ini.

Gabriel, 17, jelas sukar ditandingi apabila memungut 369 mata keseluruhan diikuti Muhd Syahmi Mohd Rezal dari Selangor yang memperoleh perak (315.60 mata) dan penerjun Wilayah Persekutuan, Hanis Nazirul Jaya Surya gangsa (312 mata).

"Saya gembira dengan persembahan hari ini biarpun pada terjunan ketiga saya tidak dapat melakukan yang terbaik disebabkan angin yang kuat menolak saya ketika mahu melakukan terjunan.

"Saya harap dapat menyumbang satu lagi emas buat Sabah dalam acara 3m papan anjal seirama apabila bergandingan dengan Jellson Jabillin pada pertandingan lusa," katanya.

Dalam aksi pembuka tirai hari ini, Gabriel yang juga penerjun pelapis kebangsaan melakukan terjunan yang bagus sehinggalah pada terjunan ketiga apabila dia hanya memperoleh 36 mata sebelum bangkit untuk membaiki terjunan pada tiga terjunan terakhir.


Atlet terjun Sabah, Gabriel Gilbert Daim memenangi pingat emas acara terjun papan anjal 3 Meter lelaki pada SUKMA Perak 2018 di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Untuk rekod, Gabriel memenangi emas dalam acara campuran berpasukan pada Sukan SEA 2017 apabila bergandingan dengan Pandelela Rinong Pamg.

Dalam acara 10m platform seirama wanita pula, gandingan penerjun Sarawak - Kimberly Bong dan Eilisha Rania Abrial Rajagopal berjaya mempertahankan emas acara itu yang dimenangi mereka ketika temasya dua tahun lalu di Sarawak apabila mengumpul 274.05 mata. 

Perak dimenangi pasangan Selangor, Koh Hui Yan dan Lim Min dengan mengumpul 222.06 mata sementara gandingan Sabah, Nur Ain Nadzmi dan Nurfazriyanti Jali memenangi gangsa (213.51 mata). 

"Kami baru menjalani latihan bersama semula lebih kurang dua minggu dan saya bangga apabila junior saya, Eilisha Rania berjaya membuat yang terbaik untuk membantu kemenangan hari ini," kata Kimberly.

Kimberly, 16, sudah diserapkan di dalam program pelapis kebangsaan dan menjalani latihan di Bukit Jalil sementara Eilisha yang baru berumur 13 tahun dan memiliki ketinggian 1.38 meter menjalani latihan di Kuching sebelum SUKMA berlangsung.

Berita Harian X