Rabu, 26 September 2018 | 3:22pm
FARAH Ayuni Yahya

Farah sedia turun beraksi

KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya bersedia untuk diturunkan pada perlawanan kedua Liga Premier England bertemu Beeston, Sabtu ini selepas turun menjalani latihan buat kali pertama untuk kelab barunya, East Grinstead HC semalam.

Bagaimanapun, penjaga gol terbaik Asia itu mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama kerana barisan penjaga gol sedia ada yang dimiliki kelab itu juga bukan calang-calang.

Justeru Farah berkata, dia perlu bersaing bagi merebut tempat sekali gus ingin membuktikan dirinya bukanlah sekadar pelengkap pasukan.

"Saya sentiasa bersedia jika diberi peluang untuk bermain terutamanya pada perlawanan Sabtu ini.

"Tapi memang saya sendiri sedia maklum perlu merebut tempat dengan penjaga gol lain," katanya.

Farah berkata, untuk ketika ini, selain perlu bersaing di dalam pasukan, dia juga mahu segera menyesuaikan diri dengan faktor cuaca di sana.

"Saya kena biasakan diri dengan cuaca di sini kerana bagi saya ia sangat sejuk," katanya.

Farah menjadi pemain wanita pertama negara beraksi di liga utama England selepas mendapat tawaran daripada kelab itu.

Dia terlepas beraksi pada perlawanan pembuka tirai liga bertemu Buckingham yang menyaksikan Grinstead tewas 1-2.

Grinstead adalah antara pasukan utama di saingan Liga Premier dengan dibarisi beberapa pemain kebangsaan.

 

 

Berita Harian X