Sabtu, 6 Oktober 2018 | 1:54pm
KHAIRY Jamaluddin (kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian We Rock The Spectrum Kids Gym di Melawati Mall. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Gaji Teong Kim setara pengalaman, tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Pengalaman yang dimiliki Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim serta tanggungjawabnya bersama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) menyebabkan gajinya ‘melambung’ sehingga RM175,000 sebulan.

Hakikat itu diakui bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menegaskan tawaran itu adalah setara dengan mengikut harga pasarannya sebagai jurulatih skuad pembangunan bertaraf antarabangsa.

“Tawaran itu mengikut rundingan saya bersama beliau pada 2014 selepas melihat tanggungjawabnya yang bukan setakat menjaga pasukan bawah 14 tahun (B-14) ketika itu tetapi perlu menjaga keseluruhan program.

“Gajinya untuk dua tahun pertama dibayar penaja namun selepas dua tahun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang membayar gaji namun selepas penaja enggan menanggung gaji Teong Kim jumlah tajaan tetap masuk ke NFDP.

“Bagi saya, jika kita mahukan individu yang berpengalaman di Eropah maka itulah lebih kurang paras gajinya yang munasabah tetapi saya serahkan kepada KBS berhubung rundingan semula gajinya.

“Mungkin beliau sanggup menurunkan gaji sedia ada jika sekadar menjaga pasukan utama B-16. Apapun, terpulang kepada Teong Kim kerana saya rasa beliau pun ada banyak peluang di luar negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan gimnasium kanak-kanak pelbagai spektrum ‘We Rock The Spectrum’ di Taman Melawati, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung gaji Teong Kim setinggi RM175,000 namun tidak dikenakan sebarang cukai, Khairy menjelaskan itu adalah permintaan dari Teong Kim sendiri.

“Dia yang minta (pengecualian cukai) dan klausa itu adalah antara yang diletakkan dalam kontrak yang ditandatanganinya sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, pendedahan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mengenai gaji bulanan Teong Kim dua minggu lalu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ada yang mempertikaikan kewajaran dia dibayar dengan jumlah sebanyak itu susulan kegagalan anak buahnya menepati sasaran mara ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2019 di Peru apabila kandas di peringkat kumpulan saingan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, bulan lalu. 

 

Namun ada yang menyifatkan ia berpatutan selepas mengambil kira reputasinya yang pernah berkhidmat bersama skuad remaja Bayern Munich yang melahirkan bintang berkelas dunia seperti Thomas Muller dan Toni Kroos.

Berita Harian X