Selasa, 9 Oktober 2018 | 4:43pm
PEMAIN tengah skuad hoki negara, Wan Norfaiezah Md Saiuti (kanan). - Arkib NSTP
PEMAIN tengah skuad hoki negara, Wan Norfaiezah Md Saiuti (kanan). - Arkib NSTP

Wan Norfaiezah tekad bantu Wespen kekal dalam Bundesliga

KUALA LUMPUR: Pemain tengah skuad hoki negara, Wan Norfaiezah Md Saiuti berharap dapat membantu kelabnya, Wespen Zehlendorfer kekal menduduki kelompok 10 terbaik sebelum berakhir pusingan pertama liga utama Jerman, Bundesliga. 

Wespen ketika ini menduduki tangga ke-10 liga selepas 11 perlawanan - kedudukan paling terendah jika ingin kekal di liga utama sekali gus terselamat daripada penyingkiran. 

"Apa yang saya tahu pasukan perlu menduduki kedudukan 10 terbaik liga untuk kekal di dalam Bundesliga. 

"Kami masih mempunyai baki lagi tiga perlawanan di pusingan pertama sebelum bersambung tahun depan. 

"Saya harap dapat membantu pasukan mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan ini," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Seorang lagi pemain negara yang turut beraksi di kelab sama adalah penyerang negara, Hanis Nadiah Onn. 

Jelas Wan, sepanjang beraksi bersama Wespen yang baru naik ke Bundesliga pada musim ini, banyak pengalaman berharga yang dipelajarinya. 

"Memang banyak perkara baharu yang saya belajar di sini. 

"Penyokong kelab ini ramai yang menyaksikan perlawanan dan mereka tetap memberi sokongan padu walaupun kadangkala kami tewas dengan jumlah jaringan yang besar. 

"Ini adalah suasana yang biasa di Eropah," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X