Sabtu, 13 Oktober 2018 | 10:36pm
ATLET Paralimpik berjaya memperolehi 17 pingat Emas, 26 Perak dan 25 Gangsa. - Foto BERNAMA

Kejayaan raih 17 emas luar biasa

 

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia melepasi sasaran dan mengumpul keseluruhan 17 emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018 adalah hasil usaha luar biasa dan tidak pernah mengenal putus asa.

Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), John Ng, berkata kejayaan berkenaan juga tidak akan hadir tanpa kerjasama erat semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) serta MPM sendiri.

"Lebih daripada itu, kehadiran penaung kami, Tun Jeanne Abdullah dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Timbalannya, Steven Sim turut membakar semangat atlet untuk mempamerkan aksi luar.

"Jadi tidak hairanlah jika mereka berjaya mencatat sejarah dan meninggalkan kenangan manis sebelum menutup tirai dengan meraih pingat emas ke-17 menerusi acara terakhir (ujian masa 1KM tandem lelaki B).

"Apa yang lebih membanggakan, kedua-dua wakil Malaysia dalam acara berkenaan juga berjaya memecahkan rekod kejohanan dengan menewaskan pelumba Korea Selatan dan Jepun, sekali gus membolehkan mereka mencatatkan keputusan satu dua atau menang pingat emas dan perak. 

“Ini adalah sesuatu yang menarik. Atlet paralimpik kita memang luar biasa!! Malaysia boleh," katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Kejayaan Afiq Afify Rizan dan jurumudi Khairul Adha Rasol membolehkan Malaysia menang keseluruhan 17 pingat emas, 26 perak dan 25 gangsa berbanding sasaran awal ditetapkan KBS iaitu 15 pingat emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Berita Harian X