Rabu, 31 Oktober 2018 | 7:55pm

MPD, Kitamen tandatangani MoU bangunkan eSports

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengurangkan kos dan meningkatkan keberkesanan projek dan acara pada 2019, Media Prima Digital (MPD) menjalin kerjasama dengan Kitamen, syarikat tempatan yang pakar dalam produk dan perkhidmatan eSports.

Sempena acara tahunan industri permainan video Asia Tenggara, Level Up 2018 dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi meningkatkan industri berkenaan di Malaysia dan rantau ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPD, Rafiq Razali dan CEO Kitamen, Hazman Hassan.

MoU itu turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan CEO MDEC, Datuk Yasmin Mahmood di Nexus, Bangsar South, hari ini.

“Menggabungkan kepakaran media kami dan reputasi dan sumber menakjubkan Kitamen dalam senario sukan itu, ia akan memperkuatkan misi kami membantu membangunkan budaya eSports dan permainan video ini.

“Kitamen adalah pemain industri eSports yang hebat dan komitmen mereka memberi inspirasi kepada kami untuk bekerjasama bagi membangunkan program yang dapat menarik minat dan mencari bakat dalam eSports,” kata Rafiq.

Menerusi MoU itu, MPD akan memberikan kemudahan platform miliknya yang pelbagai termasuk televisyen digital, percetakan dan radio untuk digunakan bagi mempromosikan semua inisiatif permainan video selain menyiarkan kepakaran berkaitan perkhidmatan ‘live streaming’.

Sebagai balasan, Kitamen dibenar untuk menggunakan sepenuhnya aset dalaman Media Prima dan menyertai acara berskala besar seperti Karnival Jom Heboh dan kejohanan IPT masa depan.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman diantara Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kitamen, Hazman Hasan (kanan) di Bangsar South. - Foto SADDAM YUSOFF
Berita Harian X