Selasa, 20 November 2018 | 1:11am
SEBAHAGIAN peserta memulakan larian di Putrajaya. - Foto Ihsan Allianz Pacer Run

Allianz Pacer Run lebih mencabar

PUTRAJAYA: Seramai 6,000 peserta tampil menyertai acara Allianz Pacer Run yang berlangsung di Putrajaya, semalam.

Untuk edisi 2018, acara berkenaan 'pulang' ke lokasi asalnya iaitu di Presint 3, Putrajaya dan format acara juga diubah hingga menyaksikan jarak 12KM dan 6KM bagi larian ‘Fun Run’ dipanjangkan kepada 16KM dan 8KM. Selain itu, jumlah penyertaan juga ditambah kepada 6,000 berbanding 5,000 peserta pada tahun sebelumnya.


ZAKRI Khir (kiri) bersama Pengurus Pemasaran IJN, Akim Affandi Ahmad, Amy Loke (kanan) rai kejayaan pemenang Allianz Pacer Run.

"Tujuan utama penganjuran Allianz Pacer Run ialah untuk menarik minat rakyat Malaysia dan menggalakkan gaya hidup sihat. Sebagai acara larian kami yang tersendiri, saya amat berbangga untuk melihat sejauh mana larian ini berterusan dan mampu menggalakkan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk menjadi aktif dan mula mengamalkan gaya hidup sihat.

"Untuk kami, penganjuran ini bukan saja bertujuan dijadikan acara tahunan yang berkualiti tetapi juga untuk memberi inspirasi, mencabar dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkumpul dan berseronok sambil beriadah di hujung minggu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir.

“Tahun ini, kami mahu peserta larian mencabar diri mereka. Selepas tiga tahun, kami fikirkan bahawa inilah masa yang tepat buat Allianz Pacer Run mencabar peserta dan membantu mereka untuk mencapai separuh peringkat larian marathon sejauh 21KM. Untuk larian yang dianjurkan buat kali keempat ini, kami mahu tingkatkan sedikit cabaran dan justeru, kami tingkatkan jarak larian kepada 16KM dan 8KM dan menambah 1,000 lagi jumlah penyertaan,” kata Zakri.

Penyertaan pada tahun ini juga menampilkan hampir 2,000 pelanggan dan juga lebih 400 orang kakitangan Allianz termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Joseph Gross.

Acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan melalui aktiviti Zumba untuk peserta.

Larian 16KM untuk kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita bermula jam 6 pagi di Istana Kehakiman manakala kategori Fun Run 8KM pula bermula sejam kemudian.

Berita Harian X