Isnin, 3 Disember 2018 | 1:05pm

MSNT yakin atlet akur pakaian patuh syariah

KUALA TERENGGANU: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) tidak akan sesekali bertindak keras terhadap atlet dan pemain negeri yang enggan mematuhi arahan menutup aurat ketika beraksi musim depan.

Selain itu, MSNT tidak akan bertindak terburu-buru menggugurkan mereka yang tidak mematuhi arahan kerajaan negeri memakai pakaian patuh syariah.

Sebaliknya, pendekatan secara berhemah bakal diterapkan kepada semua atlet beragama Islam bagi memastikan mereka dapat mengikut peraturan berkenaan atas dasar kewajipan dan bukannya secara paksaan.

Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu berkata, beliau berkeyakinan atlet dan pemain yang bernaung di bawah kerajaan negeri dapat mematuhi peraturan berkenaan kerana ia tidak menjejaskan mutu dan persembahan mereka.

"Kita ada cara tersendiri menerapkan nilai-nilai Islam ini kepada atlet dengan kesediaan mereka untuk memakai, tapi pendekatan kita bukan secara kekerasan tentang perkara ini.

"Dalam hal ini, saya tidak begitu bimbang kerana sudah ramai pemain dan atlet yang menerima penutupan aurat dalam banyak sukan kerana kita sudah bermula sejak 2006 lagi selain atas kerelaan dan rasa tanggungjawab atlet itu sendiri.

"Bagi atlet yang degil, kita akan memberi masa kepada mereka untuk menerima perubahan ini selari dengan kehendak Islam dan kita tidak akan bertindak melulu.

"Saya yakin mereka akan dapat mengikut pelaksanaan pakaian patuh syariah ini sepenuhnya pada tahun depan," katanya ketika ditemui Sukan NSTP di Padang Ragbi Kompleks Sukan Negeri Terengganu, petang semalam.

Minggu lalu, kerajaan negeri mewajibkan pemain beragama Islam yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) mulai tahun depan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X