Isnin, 17 Disember 2018 | 4:34pm
JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang. - Foto Eizairi Shamsudin
JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang. - Foto Eizairi Shamsudin

Azizulhasni terkandas di pusingan ketiga

KUALA LUMPUR: Hajat jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang untuk menaiki podium buat kali kedua dalam Piala Trek Dunia 2018 di London tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan ketiga acara pecut individu, pagi tadi.

Azizulhasni yang memenangi pingat perak dalam acara keirin kelmarin sekadar menduduki tempat ke-15 daripada 35 pelumba yang beraksi.

Lebih mengecewakan The Pocketrocketman apabila dia hanya ketinggalan 0.013 saat di belakang pelumba Great Britain, Jack Carlin yang mencatatkan masa 10.032 saat pada pusingan ketiga sekali gus menyebabkan gagal mara ke pusingan suku akhir di velodrom Lee Valley VeloPark.

Azizulhasni bagaimanapun mengakui faktor kepenatan selepas terpaksa berkayuh bermati-matian untuk memenangi perak dalam acara keirin menjadi punca kegagalannya itu.

Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu juga tidak menolak kemungkinan faktor kurang tidur juga mempengaruhi corak kayuhan dan tenaganya ketika turun beraksi.

"Walaupun tidak berjaya untuk ke pusingan seterusnya (suku akhir), ini adalah pencapaian terbaik untuk acara pecut individu daripada empat siri Piala Dunia yang disertai.

"Paling penting adalah dapat menambah koleksi mata untuk misi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara ini selepas selesa dalam acara keirin," katanya menerusi laman Instagramnya; @azizulawangofficial di sini hari ini.

Berita Harian X