Isnin, 31 Disember 2018 | 9:29pm
KETUA Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir - Foto HAMZAH OSMAN

Lari tahun ini, tamat tahun hadapan

LANGKAWI: Seramai 600 peserta bakal menyertai larian '2 Years Nite Run' bermula malam ini di Pantai Chenang di sini, sebelum menamatkan acara pada awal pagi esok. 

Program kali kedua anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu bertujuan memeriahkan sambutan tahun baharu, selain memupuk semangat perpaduan dan integrasi antara kaum.

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir, berkata peserta dari dalam dan luar negara akan memulakan larian sejauh 7.2 kilometer bermula di Laman Padi, Pantai Chenang.

"Larian menawarkan hadiah keseluruhan RM12,000 ini unik kerana acara diadakan pada dua tahun berbeza bagi memberi peluang peserta merasai pengalaman baharu.

"Acara dijangka bermula jam 10.00 malam ini dan penamatnya dijangka awal pagi esok. Ia sengaja disusun bagi memberi keunikan dan kemeriahan kepada penduduk tempatan dan pelancong sekitar Pantai Chenang meraikan sambutan Tahun Baharu 2019," katanya.

Pelepasan peserta bakal dilakukan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) LADA , Mohamed Asri Redha Abdul Rahman.

Berita Harian X