Rabu, 9 Januari 2019 | 6:50pm
MOHD Masyuri Rahmat. - Nstp/Luqman Hakim Zubir

Baiknya hati musuh...

LANGKAWI: Seperti mati hidup semula!

Itu gambaran tepat mengenai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Uranus yang hampir menarik diri daripada saingan kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019 selepas mengalami isu teknikal, semalam.

Uranus yang dikemudi Mohd Masyuri Rahmat bagaimanapun dapat meneruskan cabaran selepas pesaing mereka dalam kelas Racing, Hollywood-Provezza - yang juga pendahulu saingan ketika ini - sedia membantu menyelesaikan masalah dihadapi pasukan itu.

"Selepas hampir berputus asa, saya berjumpa pasukan Hollywood dan mereka berbesar hati untuk membantu," kata Masyuri yang turut berbangga dengan semangat kental anak buahnya sehingga melonjakkan pasukan ke tempat ketiga keseluruhan untuk hari kedua saingan, hari ini.

Daripada tiga perlumbaan yang berlangsung, mereka menamatkan dua daripadanya di tangga ketiga - masing-masing pada Perlumbaan 3 dan 5 - dan tidak menamatkan Perlumbaan 4 apabila mengalami masalah di bahagian layar.

Keputusan tempat ketiga itu jelas lebih baik berbanding hari pertama saingan semalam yang menyaksikan mereka berada di tangga tercorot daripada lima pasukan bertanding dalam carta keseluruhan.

"Mereka mempunyai alat ganti dan memberikannya kepada kami untuk membolehkan pasukan berlumba pada hari ini. Jadi, apa yang pasukan boleh lakukan hari ini ialah melakukan yang terbaik.

"Hari ini kami berlumba di kawasan luar pulau. Keadaan angin banyak membantu dan lawan terdekat kami adalah SCS Janda Baik kerana reka bentuk dan kelajuan bot adalah lebih kurang sama.

"Saya tidak mempunyai pilihan lain kecuali bersaing dengan lawan itu (SCS Janda baik) untuk dapatkan kedudukan. Dapat dilihat, saya kehilangan layar pada Perlumbaan 4 dan layar mereka koyak pada Perlumbaan 5.

"(Secara keseluruhan) Yang bagusnya, pasukan yang saya ada sekarang... biar apapun yang berlaku, mereka tetap bersemangat untuk menamatkan perlumbaan. Itu yang membakar saya untuk melakukan yang lebih baik lagi."

Pasukan Hollywood-Provezza dikendali jurumudi berpengalaman dari Australia, Ray Roberts terus mengungguli saingan hari kedua di kawasan ‘East Coast’ apabila memenangi ketiga-tiga perlumbaan dalam kelas perdana itu.

Berita Harian X