Rabu, 23 Januari 2019 | 12:45am
ATLET lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin akan menjalani latihan di Eropah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Irfan mahu penyelesaian, bukan perang

SEPANG: "Saya bukan hendak berperang, saya mahukan jalan penyelesaian."

Demikian luahan atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang mahukan jawapan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apakah perancangan untuknya serta semua atlet negara selepas beberapa perubahan dilakukan.

"Saya adalah atlet yang ingin pergi lebih jauh. Saya tak akan keluarkan kenyataan kalau saya tak mencuba di saluran yang betul,” kata Irfan.

"Selepas menamatkan khidmat jurulatih saya (Frantisek Petrovic), selepas potongan elaun, apa perancangan seterusnya? Itu yang saya nak tahu.

"Saya baru berusia 23 tahun dan mempunyai cita-cita yang besar. Tapi bila pengurusan bertukar, laluan saya terbantut.

"Saya tak boleh buat apa-apa."

Irfan ditemui hari ini sebelum berlepas ke Prague, Republik Czech untuk menjalani latihan selama tiga bulan di sana dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan melebihi RM100,000 selepas permohonannya tidak diluluskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN). 

Menurut Irfan lagi, perkara itu bukan berlaku ke atas dirinya saja, tetapi turut membabitkan atlet lain juga.

"Pada mulanya saya mewakili diri saya sendiri dan pada masa sama ramai atlet bersuara. Cuma mereka tak berani bersuara secara terbuka.

"Sampai sekarang saya tidak mendapat jawapan daripada menteri," katanya.

 Irfan sebelum ini meluahkan perasaan di akaun media sosial miliknya, memohon penjelasan daripada Syed Saddiq selepas kurang senang dengan beberapa isu membabitkan dirinya termasuk penamatan khidmat  Petrovic dan perancangan untuknya berlatih di luar negara tidak diluluskan. 

Berita Harian X