Selasa, 19 Februari 2019 | 6:17pm
Arul Selvaraj. - Foto Zulkepli Osman

Peluang UniKL bergelar juara Liga Perdana esok

KUALA LUMPUR: Penantian sembilan tahun Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk bergelar juara Liga Perdana TNB Liga Hoki Malaysia (LHM) buat pertama kalinya, mungkin mampu digapai di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, esok.

Pasukan UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj yang melakukan penampilan pertama pada 2011, belum pernah tewas dalam 10 perlawanan dan hanya sekali seri 2-2 ketika bertemu Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Kemenangan ke atas Maybank esok akan menyaksikan UniKL mengesahkan kejuaraan liga dengan pasukan sama mudah ditewaskan mereka 5-1 dalam aksi pusingan pertama liga.

“Kami sudah berada ditahap di mana kemenangan ke atas Maybank akan mengesahkan kami untuk memenangi kejuaraan liga meskipun kami masih mempunyai satu lagi baki perlawanan bertemu TNB Thunderbolts pada Jumaat,” kata Arul.

"Secara jujur kami tidak mahu memikirkan soal kejuaraan liga. Ia pasti akan dapat dicapai sekiranya kami memperoleh keputusan yang baik. Fokus kami tetap sama seperti perlawanan lain iaitu beraksi dengan bijak selain memperbaiki taktikal perlawanan dan set piece.

“Kami juga tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lain. Kami menghormati semua pasukan. Maybank membuktikan bahawa mereka mampu beraksi dengan baik apabila berjaya meraih lima kemenangan liga setakat ini. Jadi saya jangkakan cabaran sengit daripada Maybank esok," katanya.

Juara Piala TNB musim lalu itu menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 28 mata, satu mata mengatasi TNB dan sembilan mata mendahului THT.

Dibarisi pemain ternama dunia seperti Robbert Kemperman, Martijn Havenga, Valentin Verga dari Belanda, Kieran Ian Govers dan Timothy Deavins (Australia), penjaga gol, David Harte (Ireland) dan pemain kebangsaan, Marhan, Muhammad Razie Abdul Rahim serta Mohamad Sukri Abdul Mutalib, UniKL mendominasi saingan liga sejak bulan lalu.

INFO JADUAL

ESOK

THT mln UiTM

Std Hoki Batu Buruk, 5ptg

Nur Insafi mln TNB T'bolts

Std Hoki USM, 5ptg

Maybank mln UniKL

Std Tengku Abdullah, 5ptg

Berita Harian X