Sabtu, 2 March 2019 | 10:30pm
SUBAHAN Kamal ketika sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif Kali ke-13 di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan. - Foto Nik Hariff Hassan
SUBAHAN Kamal ketika sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif Kali ke-13 di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan. - Foto Nik Hariff Hassan

Pengadil MHL dapat kenaikan elaun

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama memperjuangkan nasib, akhirnya barisan pengadil Liga Hoki Malaysia (MHL) mampu tersenyum semula apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bersetuju untuk menaikkan kadar elaun perlawanan yang diterima oleh mereka.

Perkara itu diumumkan pada mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC hari ini, dengan presiden badan induk berkenaan Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan kenaikan elaun itu antara 20 hingga 25 peratus.

"Perkara ini dibentangkan Amarjit Singh (pengerusi Lembaga Pengadil MHC) sebentar tadi dengan kali terakhir ia diteliti 10 tahun lalu. 

“Jadi, kami ahli lembaga bersepakat untuk menaikkan kadar elaun pengadil namun bergantung kepada kategori kejohanan seperti MHL dan Piala Razak.

"Kami sentiasa ingin membayar lebih tetapi oleh kerana kekangan kewangan kami putuskan untuk bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh pengerusi Lembaga Pengadil. Dia mencadangkan kadar elaun berdasarkan apa yang dibincangkan lembaga berkenaan," kata Subahan.

Isu terbabit sudah dua kali pernah dibangkitkan dengan yang terbaru pada bulan lalu apabila timbul ura-ura bahawa barisan pengadil yang mengadili Liga Hoki Malaysia 2019 mengancam untuk memboikot liga tertinggi negara itu.

Ia susulan kumpulan pengadil itu tidak berpuas hati selepas hanya menerima bayaran elaun perlawanan yang dianggap rendah iaitu RM65 bagi satu perlawanan.

Pada masa sama, Subahan turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab ke atas barisan pemain dan pegawai hoki di Malaysia sebagai menjawab isu kemalangan serius yang menimpa pengadil MHL Norazmi Safar pada bulan lalu.

Malah, beliau berkata menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pihaknya kini bersedia membayar kos rawatan sebanyak RM16,000 bagi membantu meringankan beban keluarga Norazmi.

"Pihak keluarga Norazmi ada menghantar bil kira-kira berjumlah RM16,000 dan kami akan menyerahkan bil berkenaan kepada MSN," tambah Subahan.

Dalam kejadian 27 Januari lalu, Norazmi yang menaiki kereta mengalami kemalangan ngeri di Jeli sewaktu dalam perjalanan pulang daripada Kuala Terengganu selepas bertindak selaku pegawai teknikal bagi pertemuan antara Pasukan Hoki Terengganu (THT) menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X