Khamis, 7 March 2019 | 10:06am
KHAIRULNIZAM serta Nurul Alyani menunjukkan piala yang diterima pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2018 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Khairulnizam, Nurul Alyani dinobat Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2018

SHAH ALAM: Kecemerlangan dua atlet negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nurul Alyani Jamil memberi laluan mudah kepada mereka muncul sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2018 pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2018, malam tadi.

Atlet perahu layar negara, Khairulnizam, 26, yang layak ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 itupernah muncul sebagai tiga pelayar terbaik Asia dalam acara Laser Standard lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016.

Sementara itu, atlet boling padang, Nurul Alyani, 26, pula pemenang emas Sukan SEA 2017 dan pingat perak dalam Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia 2018.

Kedua-dua atlet pelajar itu masing-masing membawa pulang sijil, trofi serta hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Khairulnizam yang ditemui pemberita selepas majlis itu melahirkan kesyukuran dengan penghargaan buat kali ke-empat sebagai Olahragawan UiTM.

“Ini kali pertama dinobatkan sebagai Olahragawan ketika di peringkat Ijazah, tiga kali ketika saya mengikuti pengajian peringkat diploma.

“Terima kasih kepada UiTM kerana membantu saya daripada segi pelajaran dan sukan. Insya-Allah saya akan teruskan kecemerlangan tahun lalu dan mencipta kemenangan tahun ini dan hadapan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya akan sahut cabaran dan buat yang terbaik kerana bukan senang untuk dapat terbaik tetapi ia tidak mustahil,” katanya.

Beliau juga tidak menjangkakan dinobatkan sebagai kerana barisan calon Olahragawan mempunyai kehebatan masing-masing.

“Saya tak jangka sebab kita ada pencabar hebat yang saya hormati dan pandang seperti Meor Muhamad Azuan Hassan (Hoki) juga pemenang pingat Perak dan layak ke Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Nurul Alyani pula menyifatkan kemunculan sebagai olahragawati itu membuka mata umum bahawa boling padang adalah sukan bertaraf dunia.

“Calon olahragawati juga pencabar saya yang hebat dengan pencapaian cemerlang masing-masing.

“Tapi kali ini rezeki berpihak kepada saya untuk terpilih sebagai olahragawati buat kali pertama.

“Tahun ini sasaran utama saya adalah Sea Games selain kejohanan Asia Pasifik yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia pada Jun depan,” katanya.

Berita Harian X