Khamis, 14 March 2019 | 6:18pm

ABM dijamin berfungsi sepenuhnya pertengahan tahun

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara akan berfungsi sepenuhnya sebagai pusat kecemerlangan sukan itu pada pertengahan tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia selaras hasrat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu menempatkan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di ABM dengan pihaknya di peringkat akhir rundingan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Ini adalah jaminan kita (KBS), saya memang setuju menempatkan pelajar SSBJ di sini yang mana mereka akan belajar dan berlatih di sini. Saya setuju kita perlu lakukan perubahan.

"Kita dalam proses rundingan dengan KPM yang mana kita bekerjasama dengan sekolah swasta untuk membawa cikgu mereka mengajar di sini. Mereka juga akan mendapat pengiktirafan daripada KPM," kata Syed Saddiq ketika ditemui media selepas sesi Townhall KBS-BAM bersama pemegang taruh badminton negara di ABM, hari ini.

BH Sukan menerusi laporan eksklusif sebelum ini mendedahkan mengenai status ABM yang menjadi tanya kerana belum digunakan sepenuhnya memandangkan BAM dijanjikan bakal menjadi pemilik akademi itu namun masih tidak menerima kata putus daripada KBS.

Ditanya kemungkinan akan ada sebarang peruntukan disalurkan kepada BAM untuk kegunaan ABM, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk kelulusan.

MENTERI Belia dan Sukan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditanya media selepas sesi Townhall KBS-BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X