Selasa, 19 March 2019 | 5:18pm
GAMBAR fail, jeneral tengah negara, Fitri Saari meraikan kejayaan menjaringkan gol pada perlawanan hoki lelaki pada Sukan SEA KL2017 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Skuad hoki kebangsaan cuba formasi baharu

 

KUALA LUMPUR: Peluang menjalani latihan pusat selama seminggu di Kuantan, Pahang memberi ruang buat skuad hoki kebangsaan mencuba formasi baharu menjelang kancah Piala Sultan Shah di Ipoh, Perak Sabtu ini.

Menurut jeneral tengah negara, Fitri Saari berbanding kebiasaan formasi 4-3-3, sesi latihan di Kuantan baru-baru ini menyaksikan pengendali negara Roelant Oltmans turut mencuba formasi 3-2-3-2.

"Kami dikerah mencuba beberapa taktikal dan formasi baharu sepanjang di Kuantan termasuk formasi baharu 3-2-3-2.

"Tetapi belum pasti sama ada ia akan diguna pakai di Piala Sultan Azlan Shah atau tidak," kata Fitri yang akan beraksi buat kali keenam dalam saingan di Ipoh itu.

Berpandukan pada formasi baharu itu, penggempur Terengganu, Faizal Saari dan Firhan Ashari dijangka menjadi tunjang di bahagian serangan secara bergilir-gilir bersama penyerang Perlis, Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil.

Mereka akan mendapat sokongan daripada bahagian tengah menyerang diketuai Fitri Saari bersama Meor Muhamad Azuan Hassan, Nik Muhammad Aiman Rozemi, Azrai Aizad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri. 

Kekuatan taktikal ini terletak pada bentuk segi tiga yang akan wujud di setiap posisi sekali gus memudahkan pemain memegang bola mempunyai dua hingga tiga pilihan untuk melakukan hantaran.

Ditanya mengenai pemilihan Azrai Aizad dan Arif Syafiq Ishak (pertahanan), Fitri yang turut diberi kepercayaan Oltmans selaku antara pemain akan menggalas tugas kapten berkata, kehadiran dua pemain muda itu meningkatkan persaingan sihat dalam pasukan.

"Kita belum tahu sama ada mereka boleh beraksi dengan baik di Ipoh kerana rentak permainan liga tempatan dan perlawanan antarabangsa adalah berbeza sama sekali, tetapi berdasarkan sesi latihan semuanya OK," katanya.

Berita Harian X