Rabu, 20 March 2019 | 1:04am
ASHRAN (kanan) ketika mewakili pasukan UniKL menentang THT.

Ashran terharu dapat wakili negara

KUALA LUMPUR: Ketika tumpuan lebih terarah terhadap keputusan Roelant Oltmans menyenaraikan empat pemain muda, namun ramai yang terlepas pandang kehadiran sulung Ashran Hamsani dalam senarai 18 terbaik skuad hoki negara ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula Sabtu ini.

Pemilihan pemain tengah UniKL berusia 24 tahun itu yang kini berada di tahap terbaiknya akan membuka babak baru legasi keluarga Hamsani dalam dunia hoki tempatan.

Ashran adalah adik kepada bekas penyerang negara, Fairuz Hamsani, dengan seorang lagi abangnya Mukhsin setakat mewakili skuad remaja kebangsaan.

"Tidak dinafikan saya mengikut jejak langkah mereka (abang) untuk menceburi sukan hoki," kata Ashran.

"Mereka banyak memberi motivasi kepada saya selain ibu bapa dan isteri saya."

Namun, pemain kelahiran Perak itu tidak menyembunyikan kenyataan yang dia hampir putus asa dengan peluangnya untuk 'mengetuk' pintu ke pertandingan antarabangsa.

"Saya mula diserap sebagai pemain tambahan (attachment) sebaik berakhir Sukan SEA 2017, dan terpaksa menunggu lebih setahun untuk akhirnya dipilih.

"Ada satu ketikanya saya seakan kecewa, namun beberapa kali cuba memujuk diri sendiri, dan akhirnya inilah hasilnya," katanya yang turut menyifatkan kejayaan terpilih ini sebagai rezeki bakal menimbang cahaya mata sulung bersama pasangan Nor Izzati Abdullah yang dijangka awal April ini.

Dalam senarai yang diumumkan kelmarin, Ahsran muncul antara tujuh pemain yang tidak berada dalam skuad Piala Dunia 2018 dan terpilih kali ini.

Turut terpilih Amirol Aideed Mohd Arshad, Najmi Farizal Jazlan bersama empat pemain muda Arif Syafie Ishak, Azrai Aizad Abu Kamal, Zaimi Mat Deris (penjaga gol) dan Luqman Nul Hakim Ahmad Syukran.

Berita Harian X