Ahad, 24 March 2019 | 5:13pm
CARA HIDUP SIHAT... Pelbagai ragam dan cara sebahagian peserta yang menyertai Fun Walk pada Program Fit Malaysia peringkat Negeri Selangor di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto BERNAMA

Fit Malaysia di Selangor disertai lebih 10,000 peserta

SHAH ALAM: Program Fit Malaysia di Dataran Kemerdekaan di sini, pagi tadi, yang menghimpunkan lebih 10,000 peserta, adalah isyarat jelas akan komitmen mereka menjalani hidup sihat termasuk kepentingan mengambil makanan sihat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau gembira dengan sambutan itu yang menunjukkan rakyat Malaysia khususnya di Selangor sangat minat program sukan selain benar-benar menjiwai Malaysia sebagai negara bersukan.

"Sambutan di sini sangat menggalakkan. Kita pun terkejut kerana ini kali pertama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menguruskan sepenuhnya tanpa menggunapakai kontraktor luar atau perunding swasta dengan kos yang tinggi tetapi selepas mendengar cadangan Jabatan Belia dan Sukan, mereka kata mereka mampu laksanakan. Itu pengiktirafan khas kepada penjawat awam khususnya pegawai belia.

"Ini cara kita untuk latih mereka menjalankan program besar pada masa sama juga kejayaan program ini di tangan mereka. Saya ucapkan terima kasih," katanya pada program Fit Malaysia Selangor yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari.

Yang turut hadir EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman. Acara larian, berbasikal, futsal serta aktiviti kecergasan fizikal seperti zumba, antara program yang diadakan.


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga, kiri) bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (dua, kanan) menyampaikan replika cek kepada pemenang pertandingan mencipta logo dan tagline Fit Malaysia, Muhammad Naim Syarif Syafuddin Nordin (dua, kiri) pada Program Fit Malaysia peringkat Negeri Selangor di Dataran Merdeka, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan, Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman (kanan). - Foto BERNAMA

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (empat, kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman (tiga, kanan) melepaskan peserta Fun Ride yang juga disertai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (depan tujuh, kiri) pada Program Fit Malaysia peringkat Negeri Selangor di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (depan dua, kiri) bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (depan tiga, kiri) berswafoto bersama peserta senaman pada Program Fit Malaysia peringkat Negeri Selangor di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto BERNAMA

Syed Saddiq berkata, walaupun kos keseluruhan program berbeza dan jauh lebih rendah namun sambutannya sangat baik.

"Kos sebelum ini apabila kita guna kontraktor luar, dalam RM1.1 juta hingga RM1.3 juta tetapi apabila kita beri keyakinan kepada penjawat awam kita, kos hanya RM300,000.

"Suasana sama sebelum ini tetapi kos jauh lebih rendah. ini adalah pengiktirafan khas kepada penjawat awam dan pegawai belia skim S di bawah KBS," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KBS sedang memperhalusi negeri seterusnya selepas Selangor bagi program Fit Malaysia.

"Saya ada cadangan untuk kita ke negeri Pantai Timur. Mungkin Kelantan atau Terengganu tetapi saya dimaklumkan bahawa kerajaan Terengganu mengalu-alukan. Jadi memang kita hendak ke sana dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, KBS memberi ruang kepada pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk pulih sepenuhnya.

"Walau apapun terjadi, kita perlu beri ruang pada Datuk Lee Chong Wei untuk pulih. Kita tidak boleh tekan dengan apa yang beliau lalui, kerana dia seorang pejuang (fighter), “ katanya.

Chong Wei sebelum ini menarik diri daripada Terbuka Malaysia atas nasihat doktor berikutan sedang menerima rawatan kanser hidung.

Berita Harian X