Ahad, 24 March 2019 | 10:58pm
FAIZAL meraikan jaringan pertama ketika menentang Jepun pada saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke 28 di Stadium Azlan Shah, Ipoh. - Foto Effendy Rashid.

Faizal wira negara benam Jepun

KUALA LUMPUR: Faizal Saari mempamerkan sentuhan luar biasa dengan meledak dua gol bagi membantu Malaysia menewaskan Jepun 4-3 dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, sebentar tadi.

Dua gol itu meletakkan namanya sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan merekodkan lima gol setakat ini selepas mencetak hatrik ketika Malaysia menewaskan Poland 5-1 dalam aksi pembukaan semalam.

Kemenangan kedua itu menyaksikan Malaysia kini di landasan tepat dalam misi memburu gelaran juara kejohanan buat kali pertama dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah lima kali muncul naib juara.

Faizal tidak menunggu lama untuk meletakkan Malaysia di depan, menjaringkan gol padang seawal minit ketiga sebelum Aiman Rozemi menggandakan jaringan buat pasukan empat minit kemudian.

Jepun yang menewaskan Malaysia pada aksi final Sukan Asia 2018 bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi gol padang Kazuma Murata minit ke-17 tetapi Faizal meledak gol ketiga minit ke-25.

Ketinggalan 3-1, Jepun terus mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya menjaringkan gol kedua pasukan itu menerusi Kota Watanabe pada minit ke-37.

Namun, Razie Rahim meledak gol keempat Malaysia menerusi pukulan sudut penalti minit ke-53.

Jepun masih belum mengalah biarpun ketinggalan 4-2 apabila menyumbat gol ketiga menerusi Koji Yamasaki pada minit ke-54 tetapi jaringan itu belum cukup untuk menafikan kemenangan buat pasukan tuan rumah.

Malaysia dijadual bertemu India untuk aksi ketiga pada Selasa manakala Jepun menentang Kanada.

Berita Harian X