Khamis, 28 March 2019 | 9:55pm
Farhan (kiri) dan Amy Kwan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2018, hari ini. - Foto BERNAMA
Farhan (kiri) dan Amy Kwan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2018, hari ini. - Foto BERNAMA

Selangor iktiraf kejayaan Farhan, Amy Kwan

SHAH ALAM: Pemain sepak takraw kebangsaan Farhan Adam dan gimnas kebangsaan, Amy Kwan Dict Weng masing-masing dinobat Olahragawan dan dan Olahragawati Selangor 2018, hari ini.

Kedua-dua atlet berkenaan menerima wang tunai RM10,000 dan juga piala iringan daripada Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah, yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di sebuah hotel di sini.

Farhan Adam, 29, adalah salah seorang pemain yang membantu Malaysia menamatkan kemarau 24 tahun pingat emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, manakala Kwan, 24, pula cemerlang meraih empat pingat pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Atlet olahraga, Muhammad Ilham Suhaimi, 18, dan perenang Nessa Yip Yi Wen,15, diumumkan Olahragawan dan Olahragawati Harapan Selangor dan masing-masing menerima trofi dan sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM5,000.

Muhammad Ilham adalah pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI), cemerlang menyumbang empat daripada 10 pingat emas Malaysia pada temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN 2018 manakala Nessa pula meraih dua emas dan satu perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Dalam pada itu, Farhan berbangga kerana menjadi pemain sepak takraw pertama menerima anugerah berkenaan, sambil menyifatkan anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan kepada sukan sepak takraw.

“Anugerah ini akan menjadi pendorong utama saya untuk menjadi seorang pemain yang lebih berjaya lagi di masa hadapan," katanya.

Amy Kwan, yang juga Olimpian Wanita 2018, turut melahirkan perasaan gembira kerana menerima anugerah berkenaan sejak bergelar atlet negara.

"Ia semestinya menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk melakukan yang terbaik untuk Selangor dan Malaysia pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA 

Berita Harian X