Jumaat, 5 April 2019 | 10:50pm
DR MAHATHIR bersama Dr. Siti Hasmah, Syed Saddiq, Ahamd Mustafa dan Wakil Penaja bergambar bersama pelumba selepas majlis Perkenal Pelumba Tour de Langkawi LTdL di Suria KLCC. - Foto Mohd Yusni Ariffin
DR MAHATHIR bersama Dr. Siti Hasmah, Syed Saddiq, Ahamd Mustafa dan Wakil Penaja bergambar bersama pelumba selepas majlis Perkenal Pelumba Tour de Langkawi LTdL di Suria KLCC. - Foto Mohd Yusni Ariffin

LTdL beri banyak manfaat kepada Malaysia, Langkawi - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, acara sukan bukan sekadar perlumbaan tetapi landasan untuk perpaduan dan penyatuan negara.

Perdana Menteri berkata acara seperti perlumbaan berbasikal, Le Tour de Langkawi (LTdL) menjadi landasan untuk bersatu dan mengenepikan perbezaan ideologi, latar belakang atau etnik.

"Kita mesti bersatu jika kita mahu membawa negara maju ke depan dan melalui sukan bukan sekadar merangsang keghairahan dan keseronokan tetapi membawa dan menggalakkan perpaduan," katanya berucap pada majlis memperkenalkan pasukan perlumbaan LTdL di Esplanade KLCC di sini, malam ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Datuk Ahmad Mustafa.

Dr Mahathir berkata, beliau mahu membawa kembali zaman kegemilangan yang pernah dirasai perlumbaan berbasikal LTdL.

Katanya, beliau sudah melihat memori indah perlumbaan berkenaan selain berjumpa orang ramai yang menanti perlumbaan itu walaupun dalam cuaca panas untuk melihat pelumba dan menyokong pasukan tempatan.

Beliau turut mengimbau kejayaan dan kegemilangan LTdL yang pada awalnya diperkenalkan pada tahun 1993, sebagai langkah serampang dua mata.

"Pertamanya adalah untuk mempamerkan keindahan dan keunikan Malaysia dan Langkawi ke dunia dan kedua, saya mahu Malaysia, dan Langkawi khususnya, untuk menjadi pusat pelancongan sukan.

"Hari ini, harapan, impian atau cita-cita itu sudah menjadi realiti. Tahun ini sahaja, Langkawi menjadi tuan rumah yang banyak acara sukan antarabangsa seperti ragbi, pelayaran, bola tampar pantai, perlumbaan bot naga, tenis dan maraton, " katanya.

Dr Mahathir yang juga pencetus idea perlumbaan basikal itu, berkata, LTdL kini adalah peristiwa tahunan yang bukan sekadar membawa pelumba basikal tetapi mampu menarik peminat dan pelancong ke pulau itu.

"Ini telah menyumbang secara positif kepada pembangunan ekonomi tempatan Langkawi dan Malaysia secara umumnya. Justeru, saya gembira kerana mengetahui bahawa Langkawi akan menjadi tuan rumah bagi dua peringkat LTdL 2019 iaitu cabaran peringkat akhir pada 12 dan 13 April.

"Walaupun dua hari tidak mencukupi mempamerkan keindahan pulau itu, namun itu adalah peluang keemasan bagi Langkawi untuk menjadi pusat perhatian, selepas beberapa tahun dikecualikan daripada laluan perlumbaan, " katanya.

Perdana Menteri berkata,satu lagi yang penting dalam penganjuran LTdL apabila Menara Berkembar PETRONAS akan menjadi lokasi yang ditampilkan untuk acara pelepasan.

"Lebih bermakna apabila acara itu akan disiarkan secara langsung kepada 400 juta penonton, termasuk melalui platform dalam talian. Inilah salah satu sebab mengapa pelancongan sukan sangat penting malah kerajaan boleh menjimatkan berjuta-juta perbelanjaan iklan atau promosi lain dengan pendedahan seperti ini," katanya.

Dr Mahathir berkata dengan pendedahan global ini, beliau yakin status Malaysia sebagai salah satu destinasi percutian utama di rantau ini akan dipertingkatkan lagi.

"Adalah mustahil untuk kerajaan menganjurkan satu acara sukan besar seperti LTdL tanpa pertolongan

syarikat korporat Malaysia. Saya gembira apabila mengetahui bahawa banyak pihak telah datang untuk membantu kerajaan dalam memastikan LTdL berjaya," katanya.

Dr Mahathir turut berharap lebih ramai tampil memberikan sumbangan pada ulangtahun ke-25 LTdL tahun depan.

Berita Harian X