Ahad, 7 April 2019 | 8:13pm
Mohd Syafiq Kamal dan Chan Yiwen.
Mohd Syafiq Kamal dan Chan Yiwen.

Syafiq, Chan Yiwen ungguli skuasy PSA 1 SRAM

KUALA LUMPUR: Pemain kebangsaan, Mohd Syafiq Kamal muncul juara Kejohanan Skuasy Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 1, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Gelaran pertama yang diraihnya itu adalah hasil kejayaan menundukkan pemain pilihan utama kejohanan, Aditya Jagtap dari India. Dia yang diletakkan sebagai pemain pilihan kedua kejohanan bagaimanapun memerlukan satu jam 16 minit untuk menundukkan lawannya itu 13-11, 9-11, 12-10, 10-12, 11-4.

Ketika ditemui, Syafiq gembira dengan kemenangannya itu, namun mengakui agak tertekan apabila bermain di tempat sendiri hingga membuatkan beliau agak gopoh untuk menamatkan permainan final berkenaan.

"Kalau ikutkan saya gembira dapat memenangi gelaran kali ini tetapi daripada segi persembahan, banyak yang perlu saya baiki terutama daripada segi fokus.

“Apabila saya mendahului dua atau tiga mata, saya cepat hilang tumpuan dan memberi lawan menambah mata," katanya.

"Cara saya yang terlalu terburu-buru tidak membantu. Jadi saya perlu fokus dan perlu ingat kembali apa yang jurulatih (Andrew Cross) katakan ketika rehat antara permainan," katanya.

Sementara itu, pemain kebangsaan, Chan Yiwen memenangi kategori wanita selepas mudah menewaskan rakan senegara, Ainaa Amani 11-3, 11-7, 11- 4 dalam masa hanya 23 minit.

"Semua perancangan saya kelihatan menjadi tadi. Biarpun berehat selama sembilan bulan kerana memberi tumpuan pada pengajian, saya gembira apabila dapat memenangi gelaran kali ini," katanya.

Selain Malaysia, India, Singapura, Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Iran, Mesir, Jepun dan Korea Selatan turut menghantar pemain pada kejohanan ini.

Berita Harian X