Ahad, 7 April 2019 | 9:23pm
SKUAD sepak takraw negara menjalani latihan. - Foto Owee Ah Chun.

Regu takraw terima anugerah khas SAM-100Plus

KUALA LUMPUR: Kejayaan menamatkan kemarau pingat emas 24 tahun Sukan Asia 2018 menyaksikan regu sepak takraw negara dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018.

SAM dalam kenyataan hari ini berkata, regu dibarisi Mohd Syahir Mohd Rosdi, Zulkifli Abdul Razak, Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias akan menerima anugerah berkenaan pada majlis yang dijadual berlangsung Rabu ini.

"Sebenarnya pencapaian atlet negara di peringkat tertinggi terlalu banyak tahun lalu dan sukar untuk kita memilih mana yang terbaik.

“Namun semangat juang tinggi dan mengakhiri penantian lama untuk emas sepak takraw di Sukan Asia adalah perkara yang paling mempunyai nilai sentimental tersendiri apatah lagi ia merupakan sukan warisan kita.

“Jadi SAM melihat ini adalah satu sejarah. Justeru selayaknya regu sepak takraw Malaysia dipilih menerima anugerah khas ini," kata Setiausaha SAM, Ahmed Faisal Jamal.

Majlis Anugerah SAM-100Plus 2018 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun penubuhannya ke-50 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Iskandar untuk berangkat hadir ke majlis itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijadualkan turut sama pada majlis berkenaan.

Sebagai rekod, pada temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, regu negara bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan skuad tuan rumah 2-1 sekali gus mengulangi pencapaian edisi 1994 di Hiroshisma, Jepun.

Selain Anugerah Khas, turut disediakan adalah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik, Anugerah Atlet Muda dan Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet dan persatuan sukan, Anugerah SAM-100Plus 2018 turut memberikan pengiktirafan kepada wakil-wakil media tempatan.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

-- BERNAMA

Berita Harian X