Isnin, 8 April 2019 | 2:28pm
PEMAIN profesional golf negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi. - Foto Osman Adnan
PEMAIN profesional golf negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi. - Foto Osman Adnan

Pemergian Arie Irawan satu kehilangan - PGM

KUALA LUMPUR: Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) menganggap kematian pemain profesional golf negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi yang meninggal dunia secara mengejut di China semalam adalah satu kehilangan memandangkan beliau adalah bintang muda yang bakal memberi impak kepada dunia golf profesional.

Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata badan induk golf itu bersedih dengan berita kematian Arie Irawan, 28, ketika menyertai Kejuaraan Sanya di China semalam.

"Beliau memenangi tiga gelaran Jelajah PGM dan adalah salah seorang bintang muda PGM yang dijangka akan memberi impak kepada dunia golf profesional.

"Beliau juga adalah pemain golf yang berdedikasi tinggi dan juga pendekatannya terhadap golf profesional adalah inspirasi buat pemain golf profesional. Semoga Allah merahmati rohnya dan semoga keluarganya tabah menghadapi kehilangan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan PGM, Nik Mustapha Nik Mohamed berkata sehingga 1 tengahari hari tadi, pihaknya masih belum memperoleh berita terkini tentang bilakah jenazah akan dibawa pulang ke negara ini.

"Kami dimaklumkan, keluarga beliau cuba membawa balik jenazah secepat mungkin tetapi prosedur membawa pulang jenazah agak rumit di sana (China). Laporan bedah siasat menyeluruh juga belum diperoleh dan kita masih menganggap kes ini adalah kematian secara mengejut," katanya.

Semalam, dunia golf digemparkan apabila Arie Irawan ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan sebiliknya, Kevin Techakanokboon sebelum pakar perubatan yang tiba kemudiannya mengesahkan beliau meninggal dunia di hotel penginapannya di Sanya, yang terletak di selatan Hainan.

Jelajah PGA juga mengumumkan perlawanan pusingan akhir kejohanan terbabit dibatalkan dengan Trevor Sluman diumumkan pemenang selepas mendahului sehingga pusingan ketiga.

Berita Harian X