Selasa, 9 April 2019 | 9:01pm
PEMAIN golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi meninggal dunia di hotel penginapannya di Sanya.
PEMAIN golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi meninggal dunia di hotel penginapannya di Sanya.

Jenazah Arie Irawan tiba esok

KUALA LUMPUR: Jenazah pemain golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi dijangka tiba di tanahair tengahari esok sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada sebelah petang.

Pengurus Besar Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), Nik Mustapha Nik Mohamed berkata jenazah dijangka akan tiba pada pukul 12 tengahari esok di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

"Jenazah akan dibawa ke kediamannya buat seketika. Kami jangkakan Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar waktu Asar.

"Kepada rakan dan keluarga yang mahu memberi penghormatan terakhir bolehlah terus ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar empat petang," kata Nik Mustapha.

Ahad lalu, dunia golf digemparkan apabila Arie Irawan yang sedang menyertai Kejuaraan Sanya di China ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan sebiliknya, Kevin Techakanokboon sebelum pakar perubatan yang tiba mengesahkan beliau meninggal dunia di hotel penginapannya di Sanya, yang terletak di selatan Hainan.

Jelajah PGA juga mengumumkan perlawanan pusingan akhir kejohanan terbabit dibatalkan dengan Trevor Sluman diumumkan pemenang selepas mendahului sehingga pusingan ketiga.

Nik Mustapha berkata dia juga tidak memperoleh maklumat terkini tentang hasil bedah siasat.

 

 

Berita Harian X