Selasa, 9 April 2019 | 10:33pm
MUHAMMAD Amirul Alif menunjukkan insentif atlet para terbaik yang diterima pada Majlis Penyerahan Insentif Kontinjen Negeri Selangor Para Sukma XIX Perak 2018 di Hotel De Palma, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Selangor salur insentif RM71,730 kepada atlet para SUKMA XIX 2018

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini menyalurkan insentif keseluruhan berjumlah RM71,730 kepada atlet para negeri ini yang berjaya meraih pingat pada temasya Para SUKMA XIX Perak 2018.

Insentif itu diberi sebagai penghargaan kepada atlet terbabit supaya menaikkan lagi semangat atlet dan barisan jurulatih untuk menjadi yang terbaik dalam mana-mana kejohanan sukan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Muhammad Amirul Alif Abdul Raof, 24, dinobatkan sebagai atlet para terbaik selepas berjaya merangkul dua pingat emas dan satu pingat perak masing-masing dalam sukan olahraga acara lempar cakera, rejam lembing dan lontar peluru.

Malah, Muhammad Amirul turut berjaya memecahkan rekod para SUKMA dalam acara lempar cakera pada jarak 18.45 meter sekali gus memadam rekod lama acara berkenaan iaitu 16.00 meter.

Beliau yang menderita kecederaan saraf tunjang sejak berusia empat tahun akibat kemalangan dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda berkata, tidak menyangka dengan pencapaiannya pada temasya sukan itu.

“Saya baru sahaja terbabit dalam sukan olahraga kira-kira setahun lalu. Terdahulu, saya bermain sukan tenis berkerusi roda dan angkat berat.

“Namun, pembabitan saya dalam sukan itu kurang menyerlah sebelum menceburi acara olahraga pula. Saya memang tidak sangka boleh menang seterusnya memecah rekod dalam lempar cakera.

“Alhamdulillah dengan insentif yang kami terima pada hari ini. Penghargaan itu bukan penghujungnya sebaliknya permulaan kepada kejayaan yang lebih besar untuk kami semua,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Insentif Para SUKMA XIX Perak 2018 di Hotel De Palma Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor, Sabran Abd Bahar dan Presiden Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya (PESRON), Shahidon Hanafiah.

Dalam majlis berkenaan, Shaikh Hashim Shaikh Mahmud turut dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik bagi sukan boling tenpin.

Selangor sebelum ini berjaya mengumpul 61 pingat keseluruhan dengan 17 emas, 17 perak dan 27 gangsa dalam temasya sukan berkenaan seterusnya menduduki tempat kelapan.

Pemenang pingat emas menerima wang tunai sebanyak RM1,500, perak (RM1,000) dan gangsa (RM700) manakala atlet serta pengurus terbaik masing-masing membawa pulang RM500.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, seramai 110 orang atlet di negeri ini yang terbabit dalam temasya sukan itu.

“Pencapaian Selangor dalam temasya sukan Para SUKMA dilihat meningkat dari semasa ke semasa terutamanya dalam tiga kejohanan sebelum ini iaitu tahun 2014 tempat ke-11, 2016 (kesembilan) dan tahun lalu di kedudukan yang kelapan.

“Ini sangat membanggakan. Semangat yang tinggi ditunjukkan oleh atlet ini termasuk jurulatih dan pengurus ini layak untuk dihargai dan disanjungi.

“Sehubungan itu, dengan penganugerahan insentif ini, ia diharap akan menaikkan lagi semangat atlet seterusnya dalam kejohanan Para SUKMA pada tahun 2020 di Johor nanti,” katanya.

Berita Harian X