Selasa, 30 April 2019 | 11:14pm
SULTAN Nazrin berkenan bergambar bersama penerima Olahragawan 2017/2018, Muhamad Hakimi (dua dari kanan) dan Sin Li Jane di Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2017/2018 di Hotel [email protected], Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Hakimi, Li Jane dinobat Olahragawan, Olahragawati Perak

IPOH: Atlet lompat kijang negara, Mohd Hakimi Ismail, 28, dan atlet tenpin boling negara, Sin Li Jane, 27, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Anugerah Sukan Negeri Perak 2017/18 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini sebentar tadi.

Anugerah disampaikan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Mengiringi baginda menyampaikan hadiah kepada pemenang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri yang mewakili Menteri Besar, Howard Lee Chuan How.

Mohd Hakimi menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2017 dan 2018 dengan memenangi empat pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, Kejohanan Terbuka Singapura, Sukan SEA dan Kejuaraan Almaty Kazakh 2017.

Dia turut memenangi tujuh pingat emas sepanjang tahun lalu antara dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, Kuala Lumpur All-Conners Meet, Sydney New All-Conners, Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur dan Sukan Universiti ASEAN Naypiydaw.

Li Jane pula menunjukkan kecemerlangannya dalam sukan tenpin boling dengan memenangi enam pingat emas sepanjang tahun 2017 termasuk di Sukan SEA, Jelajah ABF Thailand, Terbuka Lincoln PWBA dan Terbuka Brunswick Ballmaster ke-48 tahun lalu.

Olahragawan serta olahragawati harapan pula dimenangi atlet menembak, Loo Jie Ren, 20, dan atlet kapal layar remaja, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, 17.

Sementara itu, bekas pemain badminton negara yang pernah membantu negara menjadi naib johan Piala Thomas pada tahun 1976, Suffian Abu Bakar, 65, dipilih sebagai penerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Keluarga Mohd Nazri Seman pula dipilih sebagai penerima Anugerah Keluarga Sukan berdasarkan pembabitannya sebagai jurulatih pasukan perahu layar Perak, dengan isterinya sebagai pengiring pasukan perahu layar negeri manakala dua anaknya, Nur Adriana Adlyna mewakili negeri manakala Nur Nabila Natasha, mewakili negara dalam sukan berkenaan.

Anugerah pasukan terbaik pula diungguli pasukan bola sepak Perak yang muncul juara Unifi Piala Malaysia, naib juara Unifi Liga Super dan suku akhir Shopee Piala FA tahun lalu.

Penerima Anugerah Kepimpinan Sukan dianugerahkan kepada Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Perak S R Chandran yang juga seorang pegawai teknikal antarabangsa olahraga (ITO) dan pernah bertugas di beberapa kejohanan besar dunia.

Jurulatih skuad menembak negeri, Alais Neek Sulong pula dipilih sebagai penerima Anugerah Jurulatih Terbaik.

Dalam pada itu, 12 agensi media turut menerima anugerah khas sempena majlis itu.

Berita Harian X