Ahad, 12 Mei 2019 | 7:00pm
Atlet renang negara, Leong Mun Yee. - Arkib NSTP

Kazan lebih baik dari Kanada

KUALA LUMPUR: Walaupun menamatkan saingan di kedudukan kelima pada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Kazan, Russia, namun Leong Mun Yee mengakui ia lebih baik berbanding aksi di Kanada, bulan lalu.

Mun Yee bergandingan bersama Hanis Nazirul Jaya Surya menerusi acara 10 meter (m) platform seirama campuran di Kazan untuk mengutip 278.40 mata.

Berbanding pada edisi sama di Montreal, Kanada, April lalu, pasangan berkenaan mencatat 256.20 mata dan menamatkan saingan di kedudukan terakhir.

"Kami beraksi lebih baik di Kazan berbanding di Kanada dan kami dapat mengurangkan kesilapan ketika melakukan terjunan.

"Tapi ia masih belum cukup buat kami menamatkan saingan di kedudukan podium," kata Mun Yee, ketika dihubungi, hari ini.

Di Kazan, emas menjadi milik pasangan China, Duan Yu-Zhang Minjie Zhang, perak pula menjadi milik Korea Utara menerusi Hyon II Myong-Jo Jin Mi dan gangsa diraih pasangan Kanada, Vincent Riendeau-Caeli Mc Kay.

Berita Harian X