Isnin, 13 Mei 2019 | 5:52pm
JURULATIH terjun negara, Christian Brooker. - Foto Saddam Yusoff

Brooker 'tak puas hati' dengan FINA

 

KUALA LUMPUR: Lima Kejohanan Terjun Siri Dunia dalam tempoh hampir tiga bulan jelas bukan saja merencatkan kualiti pertandingan malah membuatkan penerjun tampak keletihan.

Jurulatih terjun negara, Christian Brooker menegaskan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) perlu berbuat sesuatu agar kualiti terjunan atlet tidak terjejas.

Ia termasuk melakukan penambahbaikan daripada segi penjadualan kejohanan bagi membantu semua penerjun dapat memberikan saingan dengan lebih baik.

"Saya kecewa dengan prestasi keseluruhan penerjun pada kejohanan kali ini. Tapi penerjun dari negara lain juga melakukan terjunan kurang baik.

"Ia adalah satu perkara memenatkan apabila jadual FINA meletakkan lima kejohanan terjun siri dunia dalam masa dua bulan setengah," kata Brooker mengenai prestasi keseluruhan Kejohanan Terjun Siri Dunia di Kazan, Russia, ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

"Jadi ia membuatkan penerjun hanya mempunyai sedikit masa untuk berlatih dan melakukan penambahbaikan dalam setiap kejohanan.”

Mengulas lanjut, Brooker menjelaskan jurulatih dari semua negara termasuk dirinya akan mengadakan mesyuarat di London minggu depan bagi membincangkan perkara berkaitan termasuklah penganjuran Siri Dunia.

Jelasnya perbincangan itu akan dilakukan secara tertutup dan berharap FINA dapat menerima cadangan menjadikan ia lebih baik, terutama bagi meningkatkan kualiti kejohanan serta atlet. 

"Kebanyakan penerjun yang menyertai semua kejohanan saya lihat agak keletihan. Hanya penerjun berpengalaman dapat mengatasi masalah ini berbanding mereka yang masih perlu banyak belajar.

"Malangnya kebanyakan penerjun Malaysia kurang pengalaman jadi saya harap mereka dapat belajar sesuatu selepas ini. 

"Penerjun kita berkualiti namun kurang pengalaman untuk menyatukannya ketika kejohanan," kata Brooker yang menjelaskan apa yang perlu diperbaiki adalah kebolehan mengekalkan kualiti ketika keletihan, kehilangan motivasi serta mampu menangani tekanan.

Berdasarkan jadual FINA, lima Kejohanan Terjun Siri Dunia tahun ini adalah di Sagamihara, Jepun (1-3 Mac), Beijing, China (7-9 Mac), Montreal, Kanada (26-28 April), Kazan, Russia (10-12 Mei) dan London (17-19 Mei).

Berita Harian X