Selasa, 14 Mei 2019 | 6:32pm
TEKNIKAL Delegasi Sukan Gimrama Persekutuan Gimnastik Malaysia, Petrina Low Lai Hun ketika sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bil 2/2019 sukan gimnastik artistik dan Gimrama di MSN, Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun.

Gimrama optimis raih lima emas

KUALA LUMPUR: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) optimis mampu membawa pulang lima pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019 seperti yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Delegasi Teknikal Sukan Gimrama MGF, Petrina Low Lai Hun berkata jika semuanya berjalan lancar, kesemua pingat emas yang dipertandingkan bagi acara gimrama di Filipina mampu dibolot kontinjen negara.

"MSN meletakkan sasaran untuk kami memenangi lima pingat emas dan kami perlu bekerja keras untuk merealisasikannya," kata Petrina ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 yang berlangsung di MSN, hari ini.

Mengulas lanjut, Petrina menjelaskan empat emas yang dipertandingkan adalah menerusi acara individu membabitkan disiplin gelung, bola, belantan dan riben.

Satu lagi emas adalah menerusi latihan berkumpulan yang memerlukan dua acara dimainkan dan digabungkan menjadi satu pingat emas (5 bola, 3 gelung dan 4 belantan).

Justeru, bagi acara individu, MGF menyenaraikan lima nama iaitu Amy Kwan Dict Weng, Koi Sie Yan, Izzah Amzan, Rayna Hoh Khai Ling dan Tammy Ng Jia Wen. 

Begitupun hanya empat daripada mereka akan terpilih mewakili negara menerusi acara individu dan secara keseluruhan, Malaysia dijangka membawa 10 atlet kebangsaan (4 individu, 6 latihan berkumpulan) bagi menyahut cabaran di Filipina nanti.

Sebagai rekod, ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia memenangi lapan pingat emas dalam sukan gimrama.

Mengulas lanjut, Petrina berkata sebagai persiapan, skuad gimrama akan menyertai kejohanan persahabatan di Yaroslavl, Russia bermula pada 27 hingga 31 Mei ini.

Selepas ke Russia, mereka dijadual ke Pattaya, Thailand untuk menyertai Kejohanan Asia (18 hingga 23 Jun) dan kemudian ke Kejohanan Dunia di Baku, Azerbaijan (16 hingga 22 September).

Dalam pada itu, Petrina turut memaklumkan gimnas negara berkemungkinan akan ditempatkan di Moscow, Russia selama sebulan untuk menjalani latihan selepas Kejohanan Dunia.

Berita Harian X