Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:17pm
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Owee Ah Chun

KBS positif cadangan rekrut atlet asing

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berdepan masalah untuk menerima cadangan pengambilan atlet naturalisasi dan sedia duduk berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Katanya, walaupun sukar untuk menjelaskan dengan lanjut, namun beliau secara prinsipnya menyambut baik cadangan berkenaan yang dilihat sebagai usaha akhir untuk meningkatkan pencapaian sukan tempatan.

“Ia bergantung kepada sukan seperti bola sepak kita memang ada perancangan (mengambil pemain naturalisasi) kerana persatuan pun bersetuju.

“Saya rasa untuk ke hadapan, yang pertama secara prinsipnya kita harus terima (idea ini) tetapi pada masa sama kita perlu berbincang dengan wakil-wakil persatuan sukan untuk dapatkan pandangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada aksi persahabatan antara pasukan pilihan Syed Saddiq menentang pilihan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, kelmarin.

Menerusi laporan eksklusif BH Sukan sejak minggu lalu, timbul cadangan untuk kontinjen Malaysia memberi taraf kerakyatan kepada atlet asing dalam usaha menamatkan kemarau pingat emas pertama di temasya Olimpik.

Namun, perlahan-lahan cadangan itu mula tertumpu kepada pengambilan atlet naturalisasi dengan yang terbaru, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut berkongsi pandangan.

Antaranya adalah untuk merekrut atlet asing ter utamanya dalam acara yang prestasinya kurang memberangsangkan di Sukan Olimpik.

“Saya tiada masalah untuk berbincang dengan MOM,” katanya berhubung idea Norza untuk bersemuka dengan Syed Saddiq dalam hal ini.

Pada masa sama, Syed Saddiq tidak menolak untuk menerapkan model yang sama bakal diperkenalkan untuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) - yang mengambil contoh Akademi Aspire dari Qatar bagi mana-mana sukan yang berminat untuk mengambil atlet naturalisasi.

Akademi Aspire adalah satu program khas yang mencari bakat bola sepak dari seluruh dunia untuk diserap sebagai pemain naturalisasi negara Qatar.

Berita Harian X