Sabtu, 1 Jun 2019 | 1:22pm
DHAARMA memberi arahan kepada pemainnya pada rehat separuh masa dalam aksi bertemu Itali di Rom, malam tadi.

Malaysian Tigress kejutkan Itali

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara membuktikan mereka bersungguh-sungguh mahu memburu dua kedudukan terbaik di Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland Utara, minggu depan apabila melakar kejutan tersendiri malam tadi.

Ia berikutan kejayaan skuad Malaysian Tigress mengejutkan tuan rumah Itali 2-0 dalam saingan Tiga Penjuru di Rome.

Apa yang istimewanya ia adalah kali pertama dalam sejarah, Malaysia ranking ke-22 dunia berjaya mengatasi lawan yang berada lima anak tangga di atas mereka itu dalam masa sebenar permainan selepas sebelum ini terikat dua kali.

Bermula dengan jaringan penyerang Norazlin Sumantri pada minit kelima, Hanis Nadiah Onn menggandakan jaringan enam minit kemudian untuk kedudukan berkenaan kekal hingga penamat perlawanan.

Ketua jurulatih negara, Dhaarma Raj Abdullah menjadi individu paling gembira dengan kejayaan itu kerana Itali bukanlah pencabar biasa selepas mereka mengatasi pasukan ketujuh dunia Sepanyol 4-3 pada perlawanan semalam.

“Pastinya saya gembira dengan kemenangan 2-0 ke atas Itali pada aksi terakhir di Rome dan hari ini pemain bermain dengan cukup cermat jadi tiada sebarang kecederaan berlak,” kata Dhaarma.

“Pemain memberikan satu persembahan yang menarik sama ada dari segi bertahan ataupun melakukan serangan balas yang pantas di mana ia banyak membantu dalam meraih kemenangan hari ini.

“Esok kami akan bertolak ke Scotland untuk menghadapi dua aksi pemanas badan bertemu Pasukan Pilihan Uddingston sebelum ke Ireland dan di sana nanti kami akan melalui satu lagi aksi persahabatan bertemu Skuad B-23 Ireland.”

Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini terikat 1-1 dengan Itali dalam aksi timbal balik pertama. Selain itu, mereka juga pernah mengikat skuad bimbingan Roberto Carta 2-2 pada aksi separuh akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2017 di Kuala Lumpur sebelum menewaskan lawannya itu 2-1 dalam penentuan penalti.

Siri jelajah Eropah diatur sebagai salah satu langkah persediaan buat skuad negara sebelum menuju ke Banbridge, Ireland Utara yang akan menjadi medan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada saingan yang akan menyingkap tirainya 8 Jun ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Ireland, Republik Czech dan Singapura.

Berita Harian X