Isnin, 3 Jun 2019 | 5:17pm
Dhaarma memberi bayangan terdapat elemen kejutan. - Arkib NSTP

Siapa dua pemain yang bernasib malang?

KUALA LUMPUR: Debaran siapa 18 pemain terakhir yang menggalas tugas untuk Pusingan Akhir Siri FIH bakal terjawab esok dengan pengendali Dhaarma Raj Abdullah memberi bayangan terdapat elemen kejutan.

Tegas pengendali hoki wanita berusia 50 tahun itu, pelbagai kriteria diambil kira sebelum menggugurkan dua daripada 20 pemain termasuk prestasi mereka sepanjang saingan Tiga Penjuru di Rome yang berakhir kelmarin.

"Mungkin ada sedikit kejutan dalam senarai kali ini," katanya ketika dihubungi di Uddingston, Scotland hari ini.

"Tetapi apapun saya terlebih dulu perlu mengumumkan kepada pemain malam ini dalam aksi pemanas badan bertemu Pilihan Uddingston.

"Dan mungkin esok baharu saya boleh umumkan, buat masa ini saya tidak boleh dedahkan nama dua pemain yang akan digugurkan."

Sebelum ini, Dhaarma pernah mendedahkan bahawa posisi pemain ke-17 dan 18 skuad Malaysian Tigress menjadi rebutan antara kuartet penyerang -Nur Zafirah Aziz, Norazlin Sumantri serta pemain kian meningkat Siti Zulaikha Hussin dan Nurmaizatul Hanim Syafi Sheikh Fuad.

Namun, berdasarkan petunjuk terbaru diberi Dhaarma terdapat kemungkinan hanya satu daripada empat kuartet jentera serangan terbabit akan menjadi 'mangsa' penyingkiran' dengan

seorang lagi pemain yang kerap dibawa ke kejohanan utama bakal melengkapkan senarai berkenaan.

Di Ireland Utara nanti, Malaysia akan membuka kempen Kumpulan A menentang tuan rumah pada Sabtu ini diikuti bertemu Singapura sehari kemudian dan Republik Czech pada 11 Jun.

Berita Harian X