Isnin, 10 Jun 2019 | 4:55pm
Atlet memanah recurve paralimpik negara, S Suresh harum nama negara muncul juara pada Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbosch, Belanda semalam.

TPM, Syed Saddiq ucap tahniah pada Suresh

KUALA LUMPUR: Kejayaan cemerlang yang diraih atlet memanah recurve paralimpik negara, S Suresh pada Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbosch, Belanda semalam mendapat pujian Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah menerusi catatan terbaharu menerusi akaun Twitter miliknya hari ini mengucapkan tahniah kepada Suresh yang meraih pingat emas pada kejohanan berkenaan.

"Tahniah dan syabas atlet paralimpik negara, Suresh Selvathamby mengukir kejayaan menjadi juara dunia pertama Malaysia dalam sukan memanah. Kejayaan yang cukup membanggakan untuk negara Malaysia,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi catatan pada akaun Twitter miliknya, turut mengutuskan ucapan tahniah kepada atlet berusia 25 tahun itu.

Suresh mempamerkan prestasi cemerlang selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki, sekali gus menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat pada kejohanan berkenaan adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali.

-- BERNAMA

Berita Harian X