Isnin, 10 Jun 2019 | 5:45pm
S Suresh raih pingat emas pada Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbosch, Belanda semalam.

Panahan emas Suresh hasil sokongan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Jurulatih memanah recurve para negara, Marzuki Zakaria menyifatkan kejayaan S Suresh meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbosch, Belanda semalam adalah hasil sokongan padu rakyat Malaysia.

Katanya, kejayaan bermakna berkenaan tidak akan hadir tanpa doa dan sokongan rakyat Malaysia serta menganggap emas berkenaan sebagai satu bonus untuk skuad memanah para negara.

“Sasaran saya sebelum bermulanya kejohanan ini hanyalah sekurang-kurangnya seorang atlet kita layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Pada saya, beliau memang layak meraih emas kerana beliau telah memberi persembahan terbaik pada saingan kali ini.

“Apa yang saya lihat prestasi Suresh pada kejohanan ini amat luar biasa di mana beliau telah dapat melakar catatan terbaik, tahu mengawal emosi dan mendengar arahan jurulatih, serta tidak banyak melakukan kesilapan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Ditanya mengenai persembahan keseluruhan skuad negara pada saingan kali ini, Marzuki berpuas hati terutamanya pasukan recurve, sambil memaklumkan beliau mengintai satu lagi slot Olimpik pada Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok pada Oktober nanti.

“Bagi atlet yang tidak layak ke Sukan Paralimpik 2020, mereka masih ada peluang untuk layak pada kejohanan ini dan sekiranya lebih ramai pemanah paralimpik negara yang layak ke Tokyo, ia merupakan satu bonus bagi pasukan kita,” kata Marzuki.

Suresh meraih pingat emas selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki, sekali gus menempah tiket ke Sukan Paralimpik 2020.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat pada kejohanan berkenaan adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali.

-- BERNAMA

Berita Harian X