Selasa, 11 Jun 2019 | 6:32pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ucap tahniah kepada S Suresh (kiri) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/Aziah Azmee

Ganjaran RM80,000 untuk Suresh selain mungkin sebuah rumah

SEPANG: Kemenangan di Hertogenbosch, Belanda, kelmarin mungkin akan mengubah keseluruhan nasib 'Robin Hood Malaysia', S Suresh yang mencipta sejarah sebagai atlet pertama negara memenangi pingat emas pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019.

Ini kerana selain bakal menerima ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebanyak RM 80,000, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sedia mempertimbangkan untuk menganugerahkan sebuah rumah kepadanya.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditemui pada majlis khas sambutan kepulangan Suresh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sebentar tadi.

"Saya akan perhalusi soal berkenaan," katanya apabila ditanya oleh pemberita berhubung perkara terbabit.

"Cuma apa yang seperti dijanjikan, kita akan bagi wira negara seperti Suresh yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia skim SHAKAM sama seperti atlet normal sebanyak RM 80,000 dalam usaha untuk terus mendorongnya."

Pada kejohanan dunia di Belanda itu, Suresh mempamerkan prestasi cemerlang selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki, sekali gus menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat pada kejohanan berkenaan adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali.

Sementara itu, Suresh, 25, turut mengakui cukup gembira sekiranya benar kerajaan berhasrat menghadiahkan sebuah rumah kepada beliau dan berjanji untuk terus melakukan lebih baik pada kejohanan lain selepas ini.

Beliau yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah, kehilangan kaki kiri pada usia 13 tahun selepas menaiki lori yang dipandu oleh ayahnya, Selvathamby, terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Di sebalik kejayaannya itu, atlet para ini mempunyai kisah hidup penuh dugaan termasuk dibesarkan oleh ibunya yang sehingga kini hanya mendiami rumah sewa.

Berita Harian X