Selasa, 11 Jun 2019 | 7:12pm
Atlet Para negara, S Suresh peraga pingat yang dimenanginya pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, Hertogenbosch, Belanda, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

`Robin Hood Malaysia' kini sasar Olimpik Tokyo

SEPANG: Selepas panahannya di Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 tepat 'mengenai' pingat emas, kini fokus S Suresh beralih pula kepada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Muncul sebagai juara dunia di Hertogenbosch, Belanda, kelmarin nyata mencetuskan keinginan buat 'Robin Hood Malaysia' berusia 25 tahun itu untuk terus menjadi penyumbang pingat kepada negara.

Pada kejohanan dunia empat tahun sekali itu, Suresh mempamerkan prestasi cemerlang untuk menewaskan juara dunia 2015, Eric Bennett dari Amerika Syarikat 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki, sekali gus menempah tiket automatik ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat pada kejohanan berkenaan adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali.

Sejurus diberi sambutan wira sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebentar tadi, Suresh yang juga anak jati Kuala Ketil, Kedah itu terus membayangkan yang kejayaan di Belanda hanya permulaan kepada karier panjangnya selepas ini.

"Peluang untuk menang sentiasa terbuka. Tidak kira sama ada ia membabitkan senarai atlet yang sama seperti di Kejohanan Dunia ini ataupun atlet baru sesiapa saja boleh menang.

"Selagi saya mendapat sokongan dari rakyat Malaysia saya yakin boleh buat yang terbaik di Tokyo nanti," katanya yang kini menduduki ranking keempat dunia.

Kejayaan Suresh itu melayakkan dia menerima wang hadiah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berjumlah RM80,000.

Malah, ia kali pertama dalam sejarah menyaksikan pemanah negara memenangi pingat emas di Kejohanan Memanah Para Dunia dan Suresh menujukan kemenangan itu kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kemenangan ini saya tujukan kepada rakyat Malaysia, keluarga dan juga jurulatih saya. Malah ibu saya banyak mengorbankan wang ringgit untuk saya, sehingga saya berjaya ke tahap seperti sekarang ini, " katanya.

Berita Harian X