Rabu, 12 Jun 2019 | 8:13pm
Atlet para pemanah, S Suresh raih pingat emas pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019. - NSTP/Aziah Azmee

Suresh mampu saingi atlet normal

KUALA LUMPUR: Biarpun masih terlalu awal, Marzuki Zakaria yang menjadi jurulatih 'Robin Hood Malaysia', S Suresh yakin pemenang emas Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 itu mampu bersaing dengan atlet normal.

Malah, jurulatih berkenaan percaya panahan atlet para berusia 25 tahun itu mampu 'menggegar' dunia andai terus fokus dalam latihan.

Selepas apa yang dilakukan Suresh di Hertogenbosch, Belanda, Ahad lalu, Marzuki yakin anak buahnya itu sudah setanding dengan atlet memanah negara yang lain.

Cumanya, sebaik kembali daripada bercuti nanti dia merancang untuk duduk berbincang mengenai program atlet berkenaan termasuk berkelana ke luar negara.

"Kalau kita lihat sekarang memang dia (Suresh) sudah setanding dengan atlet normal di negara ini," kata Marzuki.

"Sekiranya pemilihan untuk atlet normal ke Sukan Olimpik dijalankan, saya yakin dia boleh diserap masuk ke dalam kem latihan.

"Tetapi macam saya cakap sebelum, saya tidak boleh terlalu yakin. Saya masih perlu memastikan markah panahan dicapainya itu biar setanding dengan atlet normal bertaraf dunia."

Fenomena dicipta Suresh pada Ahad lalu apabila dia muncul sebagai atlet kedua para Malaysia menjuarai kejohanan dunia.

Ia sekali gus menyamai pencapaian Allahyarham Salam Sidek yang meraih emas di Nyumburk, Republik Czech pada 2009.

Kemunculan anak kelahiran Kuala Ketil, Kedah itu tepat pada masanya apabila sebelum ini skuad para negara ketandusan atlet memanah.

Kejayaan itu melayakkan Suresh menerima wang hadiah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berjumlah RM80,000.

Berita Harian X