Rabu, 19 Jun 2019 | 7:27pm
MUKHRIZ (tengah) menyampakan insentif RM5,000 kepada Suresh di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Kedah beri Suresh ganjaran RM5,000

ALOR SETAR: Atlet memanah, S Suresh yang menjuarai acara recurve lelaki terbuka pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, di Hertogenbosch, Belanda baru baru ini, menerima ganjaran RM5,000 daripada kerajaan Kedah, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata insentif itu adalah sebagai penghargaan atas kejayaan atlet berkenaan mengharumkan nama negara ini dan Kedah di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Kedah berbangga kerana negeri ini berjaya melahirkan atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat dunia,” katanya pada majlis penyerahan insentif sebanyak RM5,000 kepada Suresh di Wisma Darul Aman di sini, sebentar tadi.

Mukhriz turut memaklumkan, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan bantuan lain sekiranya ada keperluan tambahan membabitkan atlet terbabit sebagai tanda pengiktirafan atas pencapaiannya itu.

"Peruntukan biasanya disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) diperingkat kebangsaan lebih-lebih lagi apabila mewakili negara di peringkat luar negara. Namun ini juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri kerana mahu tak mahu, atas nama Kedah juga akan disebut. Ini penting supaya kita dapat menggalakan ramai lagi anak-anak muda Kedah berkecimpung dalam bidang sukan, “ katanya.

Sementara itu Suresh merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan dan dorongan atas kejayaannya memenangi pingat emas di Belanda itu.

"Sasaran saya selepas ini adalah mahu memenangi pingat emas di Tokyo tahun depan walaupun bakal mendapat saingan hebat dari negara Amerika Syarikat, Korea dan Iran,” katanya.

Berita Harian X