Sabtu, 6 Julai 2019 | 10:14pm
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana 2019 yang diadakan di Els Club Desaru Coast, Kota Tinggi. - Foto ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Piala Laksamana kumpul RM2.045 juta

KOTA TINGGI: Sejumlah RM2.045 juta dana berjaya dikumpul pada Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana 2019 yang diadakan di The Els Club Desaru Coast - Ocean Course, Desaru, dekat sini, hari ini. 

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima sumbangan itu bagi disalurkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF).

Pengerusi penganjur kejohanan Tan Sri Esa Mohamad, berkata kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu turut menyaksikan 100 peserta menyertai kejohanan, di samping menyumbang ke arah kebajikan.

Katanya, kejohanan anjuran Johor Golf Tourism Association (JGTA) turut mendapat sokongan daripada 100 rakan kongsi dan penaja korporat dari 25 syarikat.

"Kami mengiktiraf dan menghargai semua sokongan dan derma yang disalurkan dari pelbagai syarikat serta individu yang bersama-sama mengumpulkan dana untuk TLJCF,” kata Esa.

"Sangat gembira apabila dapat melihat sambutan yang menggalakkan terutama daripada warga korporat, ketua-ketua industri, pemimpin perniagaan mahupun masyarakat yang memberi kerjasama dalam menyumbang dana." 

Pada program itu, Sultan Johor turut berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang keseluruhan dari pasukan Tourism Johor, yang diwakili oleh Kapten Mohd Anizam Jamian, Mohd Radif Kosnin, Sazali Adan dan Johari Tarmidi.

Esa berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

"Kami amat tersentuh melihat banyak syarikat amal dan pihak yang murah hati tampil untuk memberi sokongan padu kepada kejohanan termasuk memberi sumbangan mahupun penajaan kepada yayasan ini," katanya.

Berita Harian X