Ahad, 7 Julai 2019 | 7:01pm
Skuad bola jaring remaja negara bersama trofi kejuaraan. - Ihsan PBJM

Malaysia juara bola jaring remaja Asia

KUALA LUMPUR: Malaysia dimahkotakan juara remaja Asia selepas menewaskan Singapura 57-48 pada aksi final Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia 2019 yang berlangsung di Kashima, Jepun, hari ini.

Kejayaan kali ini membolehkan skuad bimbingan Aminah Asaari menebus kekecewaan apabila sekadar bergelar naib juara pada edisi 2017 di belakang Singapura.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata pencapaian pemain remaja di peringkat Asia memberikan tonik tambahan untuk menghadapi kejohanan lebih besar selepas ini.

"PBJM amat berbangga menjuarai kejohanan kali selepas dua kali terlepas peluang menjadi juara. Persiapan rapi selepas ini perlu diteruskan sebagai persiapan Kejohanan Remaja Dunia dan Asia pada 2021,” kata Zainon.

Skuad bola jaring remaja negara meraikan kemenangan aksi final di Kashima, Jepun. - Ihsan PBJM

"Kejohanan Remaja Asia 2019 adalah kelayakan untuk menyertai Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia 2021 di Fiji. Malaysia layak mewakili Benua Asia di Kejohanan Remaja Dunia 2021 selepas mengesahkan tempat ke final.”

Semalam Malaysia berjaya menempah slot ke final selepas menundukkan pasukan Sri Langka dengan keputusan 72-54 di pusingan separuh akhir.

Manakala Singapura pula memastikan tiket ke final selepas menundukkan Hong Kong dengan keputusan 62-36.

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi kejohanan Remaja Asia sebanyak lima kali berturut-turut bermula pada 2004, 2006, 2008, 2010 dan 2013 manakala pada 2015 dan 2017, skuad negara bergelar naib juara.

Berita Harian X